PAS lapor polis kempen provokasi

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Kempen negatif mewarnai politik negara sudah lama berlalu, namun budaya tidak matang ini masih menjadi amalan dan taktik musuh untuk menggoda pengundi.

Terbaru, gempar kain rentang yang memfitnah pemimpin PAS dilihat tergantung di beberapa kawasan berhampiran Jalan Kerinchi dan Jalan Kampung Pasir di sini.

Tulisan pada kain rentang tertera "Pak Haji Yang Korupsi, Bukan Pemimpin Kita"  dan memaparkan gambar pemimpin PKR, Nurul Izzah Anwar dan dua wajah pimpinan utama PAS iaitu Presiden PAS dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi.

Susulan itu, PAS Kawasan Lembah Pantai bersama calon P.122 bagi Lembah Pantai Ustaz Fauzi Abu Bakar tampil membuat laporan polis di Balai Polis Travers kelmarin.

Menurut Ustaz Fauzi (gambar: memegang salinan laporan polis), mereka bertindak membuat laporan polis kerana tulisan pada kain rentang itu adalah satu cubaan menghasut dari pihak lawan politik PAS yang berniat jahat mencemar nama baik Parti Islam itu.

"Tulisan dan gambar yang dicetak di atas kain rentang ini boleh difahami bahawa pimpinan PAS mengamalkan korupsi.

"Tuduhan itu ternyata tidak tepat sama sekali, kerana PAS ternyata bersih dari sebarang salah laku yang melibatkan rasuah.

"Ini dibuktikan sendiri di Dewan Rakyat pada Mac lalu, kenyataan dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri bahawa tiada kertas siasatan rasuah yang dibuka terhadap mana-mana pemimpin PAS," katanya.

Beliau bersama lebih 10 wakil membuat laporan polis berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat. - HARAKAHDAILY 8/5/2018