Tidak berlaku lagi suasana hangat

Berita
Typography

TUMPAT: Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob tiba di pusat pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Laut, dekat sini jam 8.00 pagi.

Beliau mengundi di Saluran 1. Sebelum itu beliau beratur seperti pengundi lain.

Dengan nada berseloroh beliau berkata, saluran satu untuk pengundi warga emas.

Manakala, isterinya Datin Siti Zabedah Abdul Hamid mengundi di Sekolah Kebansaan Wakaf Bharu.

Di Pasir Mas, pengundi tiba di tempat pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan Kasar sebelum jam 8 pagi. Ramai sudah menunggu di pintu utama.

Kawasan mengundi itu tidak lagi berlaku suasana hangat seperti sebelumnya kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkan lagi perayu undi. (Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man bersama pengundi di Kubang Kerian.)

Di hadapan sekolah itu anggota Rela dan polis memastikan kelancaran lalu lintas. Kira-kira 1 km berlaku kesesakan lalu lintas di tempat mengundi itu memandangkan kenderaan mengangkut pengundi keluar masuk.

Paling meriah pos PAS dengan kehadiran orang ramai bagi membuat semakan daftar pengundi. Pos Umno juga ada pengundi yang membuat semakan biar pun bilangannya tidak ramai.

Bagaimanapun pos PKR hanya kelihatan petugas. Begitu juga di Sekolah Kebangsaan Pasir Hor Kota Bharu, pos PKR agak lengang berbanding pos PAS dan BN.

Suasana serupa juga berlaku di pusat pengundian di Maahad Muhammadi Lelaki hanya kaunter semakan PAS nampak meriah.

Bagaimanapun kaunter semakan PKR tidak kelihatan di kawasan itu.

Di Manek Urai, calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah mengundi di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Lama. - HARAKAHDAILY 9/5/2018