PAS akan umum Menteri Besar Terengganu

Berita
Typography

MARANG: PAS menyerahkan kepada pihak istana untuk menghadap Sultan Terengganu setelah berjaya menguasai semula Terengganu pada Pilihan raya Umum ke-14 ini.

“Itu akan atur, insya Allah, itu terpulang kepada pihak Tuanku, pihak istana,” kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada sidang media di Dewan Tok Guru, Rusila sebentar tadi.

Berhubung dengan calon Menteri Besar, beliau berkata ia akan diumumkan kemudian.

“Itu ada dalam fikiran kami, akan diumumkan kemudian,” katanya lagi.

Mengenai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), beliau berkata ia akan dipertimbangkan mengikut latar belakang calon PAS yang menang kerusi Dun pada PRU14.

Ini, katanya kerana mereka terdiri daripada kalangan agamawan, profesional dan rakyat.

“Oleh kerana calon kita terdiri daripada berbagai kalangan, termasuk agamawan, professional dan rakyat, Exco akan ditimbang mengikut peranan yang munasabah,” jelasnya.

Semasa berucap sebelum itu, beliau menyeru ahli-ahli dan para penyokong PAS supaya bersyukur di atas kemenangan yang dikurniakan oleh Allah itu.

Beliau bagi pihak PAS juga mengucapkan terima kasih kepada pihak media yang telah membuat liputan sepanjang kempen PRU14.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS negeri, Dato’ Husain Awang berkata, PAS Berjaya menguasai semula negeri ini setelah memenangi 21 daripada 32 kerusi Dun pada PRU14.

Beliau mengumumkan kerusi-kerusi Dun yang dimenangi iaitu Kota Putera, Jabi, Tepoh, Buluh Gading, Bukit Tunggal, Wakaf Mempelam, Bandar, Ladang, Batu Buruk, Alur Limbat, Bukit Payong, Ru Rendang, Pengkalan Berangan, Manir, Kuala Berang, Rantau Abang, Sura, Paka, Kemasik, Cukai dan Air Putih.

Bagaimanapun, jelas pihak PAS negeri sedang menunggu keputusan perjumlahan undi bagi kerusi Dun Bukit Besi dan pengiraan semula bagi kerusi Dun Ajil.

Menurutnya, jika PAS Berjaya memenangi dua kerusi Dun itu atau salah satu daripadanya bermakna PAS mencapai kemenangan mutlak iaitu majoriti 2/3 daripada kerusi Dun. – HARAKAHDAILY 10/5/2018