Menteri Besar dan Exco angkat sumpah

Berita
Typography
KUALA TERENGGANU: Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu akan mengangkat sumpah jawatan masing-masing, pada jam 9.00 malam ini di Istana Syarqiyyah, Bukit Chendering, di sini.
 
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Husain Awang berkata, pihak PAS Terengganu telah mendapat perkenan mengadap baginda Sultan Terengganu pada malam ini.
 
"Pagi tadi kami telah pun mengadap Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia, Tuanku Sultan Terengganu (Sultan Mizan Zainal Abidin), untuk mendapat tarikh dan masa bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.
 
"Majlis mengangkat sumpah (jawatan) Menteri Besar dan Ahli Exco Kerajaan Negeri itu akan diadakan pada malam ini di Istana Syarqiyyah,  pada jam 9.00 malam," ujarnya dalam satu sidang media di Pejabat Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS), Masjid Rusila, Marang, hari ini.
 
Manakala katanya, setelah diperkenankan oleh Tuanku Sultan Terengganu, pemimpin baharu kerajaan itu akan mula memasuki bangunan pentadbiran Wisma Darul Iman pada 14 Mei 2018.
 
"Kami (PAS) akan adakan solat hajat dan majlis penyerahan tugas daripada bekas Menteri Besar (Dato' Seri Ahmad Razif) kepada Menteri Besar yang baharu, InsyaAllah. 
 
"Kita mahu mengambil-alih tugas dalam suasana tertib dan berakhlak serta penuh mesra," jelasnya. 
 
Menurut, Dato' Husain bagi menyelaraskan dengan pengumuman Kerajaan Persekutuan, maka diumumkan pada hari Ahad nanti bersamaan 13 Mei 2018 sebagai cuti umum di Terengganu," ujarnya.
 
Hadir sama pada sidang media itu, Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah dan Setiausaha PAS Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid. -HARAKAHDAILY 10/5/2018