Beri kepercayaan urus kewangan

Berita
Typography

KUALA TERENGGANU: Kerajaan PAS Terengganu menuntut hak kebebasan bagi mengurus tadbir sumber kewangannya tanpa campur tangan Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berharap agar Kerajaan Pusat di bawah pentadbiran PH memberi kepercayaan mengurus kepada negeri.

Ini kerana katanya, pengalaman Kerajaan PAS Terengganu semasa era pemerintahan Umno dan Barisan Nasional (BN) berlaku campur tangan itu.

"Ketika kita (PAS) mentadbir Terengganu pada tahun 1999-2004, royalti minyak terakhir yang diterima kerajaan negeri pada tahun 2000, dan selepas itu kerajaan pusat potong royalti.

"Mereka (BN) ganti dengan wang ehsan atau dana khas yang disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Pusat (JPP) di setiap daerah.

"Situasi itu menjadikan berlakunya dua pentadbiran kewangan iaitu dari kerajaan negeri dan JPP. Kali ini, kita (PAS) tidak mahu perkara sama berlaku dan biarkan Kerajaan PAS Terengganu mengurus sendiri pentadbiran kewangan negeri," ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam, mendesak agar Kerajaan Pusat dapat mengotakan janji pilihan rayanya.

Menurutnya, meskipun Kerajaan Persekutuan telah bertukar daripada BN kepada PH, janji Kerajaan PH mesti ditunaikan bagi mengembalikan wang royalti minyak Terengganu dan Kelantan.

Ustaz Wan Sukairi bertanding di Dun Wakaf Mempelam menggantikan penyandangnya, Mohd Abdul Wahid Endut pada PRU14 lalu dan menang dengan majoriti 7,378 undi.

Calon BN, Salleh Othman mendapat 7,418 undi dan calon Parti KeADILan Rakyat (PKR), Zubir Mohamed (1,589) undi. Manakala, Ustaz Wan Sukairi mendapat 14,796 undi. -HARAKAHDAILY 15/5/2018