Jangan kalut nak rampas, isi dulu kemenangan

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Ucapan sulung Ketua Umum Keadilan, Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI) di hadapan ribuan penyokongnya malam tadi sebaik sahaja dibebaskan selepas mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong seolah-olah 'mengisytiharkan perang’ terhadap PAS.

Beliau berkata Kelantan, Terengganu dan lain-lain next round (pusingan akan datang), kalau semua menang, no fun (tidak seronok) di pengakhiran ucapannya dengan sambutan tepukan gemuruh dari para penyokongnya.

Memberi kenyataan balas terhadap ucapan terbuka DSAI itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim mengingatkan pimpinan Pakatan Harapan untuk mengisi dan menggalas dahulu kemenangan yang telah dikecapi.

"Jangan kalut nak rampas merampas, isi dulu kemenangan yang dah ada dalam tangan," katanya kepada Harakahdaily.

Azman menyifatkan ucapan sulung itu seolah-olah angkuh serta bongkak dan mengajak DSAI berlapang dada menerima kemenangan dengan tasbih dan istighfar.

Ujarnya lagi, beliau kasihan kepada DSAI yang menyimpan hasrat tersebut kerana beliau sendiri sebenarnya tidak memahami realiti politik rakyat di Kelantan dan Terengganu.

"Orang Kelantan dan Terengganu sangat anti dengan politik angkuh. Kita tak terguris apa-apa dengan ucapan sebegitu.

"Cuma kesian kerana pengucapnya tidak memahami keadaan sebenar politik di Kelantan dan Terengganu.

"Untuk itu, saya nasihatkan beliau supaya terus berlapang dada kerana Allah ajar kita terima kemenangan dengan tasbih dan istighfar," katanya yang juga Exco Kerajaan Terengganu. – HARAKAHDAILY 17/5/2018