PAS ketuai bantahan di Kedutaan AS

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Izinkan kami mara serapat mungkin ke kedutaan Amerika Syarikat bagi menunjukkan bantahan kami terhadap kezaliman di bumi al-Aqsa, demikian kata Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor, Ustaz Syarhan Humaizi Halim.

Beliau memohon kerjasama daripada pihak penguatkuasa untuk mara di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat yang dua minit kemudian pihak berkuasa membenarkannya.

Pasukan polis yang mengawal ketenteraman awam di sekitar Himpuan Bantah Kekejaman Zionis mengizinkan lori membawa para pewakilan Dewan Pemuda PAS merapati seberang jalan hadapan kedutaan tersebut.

Sebentar tadi berlangsung Himpunan Bantah Kekejaman Israel terhadap tindakan biadab Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang memindahkan kedutaannya di Baitulmaqdis dan pembunuhan berlaku setiap hari di bumi Palestin.

Turut berucap pada petang ini adalah Presiden GAMIS, Faizuddin Zai menyeru Perdana Menteri melakukan sesuatu dengan menyatukan negara  Islam dan memberikan tekanan yang cukup kepada Amerika Syarikat dan Israel.

Himpunan bermula tetap jam 2 petang selepas umat Islam selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Tabung Haji, di sini dan tamat tepat jam 3 petang dengan ucapan terakhir dari Presiden Geng Ustaz, Ustaz Norazli Musa ditutup dengan doa dari Ustaz Mohd Dusuki Abdul Rani.

Sekitar 300 umat Islam hadir membantah tindakan kejam Zionis dan hadir sama pada himpunan adalah Naib Dewan Pemuda PAS Pusat yang juga  Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad, NGO Ummah dan ramai lagi. - HARAKAHDAILY 18/5/2018