Jadikan Terengganu negeri contoh - Dr Samsuri

Berita
Typography

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melahirkan hasrat mahu jadikan Terengganu sebagai negeri contoh.

Justeru, beliau mengajak seluruh rakyat tanpa mengira latar belakangnya agar menjalinkan hubungan silaturrahim kembali selepas, berakhirnya Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

"Hadis Nabi (Muhammad) S.A.W ada menyebut kepada kita, barang siapa yang ingin diluaskan pintu rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia menyambung tali silaturrahim.

"Tanggungjawab kita (politik) setelah berakhirnya PRU yang mungkin ada menyebabkan sedikit sebanyak kecederaan di dalam masyarakat.

"Maka tempoh sekarang ini hendaklah kita merapatkan tali silaturrahim sesama kita dalam masyarakat, jiran tetangga kampung halaman kita, rakan sekerja kita.

"Mungkin sebelum ini sepanjang tempoh berbulan-bulan yang lepas ada perkara timbul dalam perbincangan masing-masing, yang menyebabkan suasana yang tidak aman terguris hati di antara satu sama lain," ujarnya.

Beliau berucap menyampaikan tazkirah Ramadan di Masjid Pengadang Baru, Kuala Terengganu dan berbuka puasa bersama rakyat, kelmarin.

Hadir sama pada majlis itu, Setiausaha Politik (Setpol) kepada Menteri Besar Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid, Ahli Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Ariffin Deraman dan Timbalan Pesuruhjaya PAS III Terengganu, Yahaya Ali.

Dr Ahmad Samsuri turut mengingatkan rakyat negeri ini bahawa, tugas mengisi dan melaksanakan agenda di negeri Terengganu ini bukan terletak dibahu Menteri Besar, Ahli Exco dan wakil rakyat sahaja.

"Tetapi itu tugas semua di antara kita (rakyat) yang terlibat dengan Jawatankuasa Masjid, masyarakat kampung di tempat kerja tugas dan semua kita.

"Kita semua adalah rakyat negeri Terengganu yang akan dilihat oleh rakan-rakan kita di negeri-negeri lain, yang memerlukan kita beri contoh yang terbaik dari segi aspek kebersihan, aspek pertuturan dan sebagainya.

"Supaya rakyat dan penduduk negeri-negeri lain yang melihat kita (Terengganu) tidak melihat negeri Terengganu sahaja tetapi melihat keperibadian dan akhlak yang dipunyai oleh rakyat negeri ini, berada ditahap terbaik sehingga menjadi contoh kepada orang lain," jelasnya dalam ucapan 15 minit itu.

Harakah dimaklumkan, Masjid Pengadang Baru merupakan masjid pertama dalam siri lawatan Dr Ahmad Samsuri selaku Menteri Besar Terengganu yang baharu selepas pasca PRU14. -HARAKAHDAILY 5/5/2018