Kerajaan Terengganu janji perkasakan SAR

Berita
Typography
KUALA TERENGGANU: Kerajaan PAS Terengganu komited akan menunaikan janji-janji manifesto pilihan raya lalu termasuk memperkasakan Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri ini.
 
Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pendidikan memainkan peranan penting dalam proses pembinaan sesebuah negara dan ummah. 
 
Justeru menurutnya, bidang pendidikan merupakan aset penting bukan liabiliti kepada sesebuah negara. 
 
"Institusi Pendidikan Islam memainkan peranan penting melahirkan insan yang bertaqwa dan mengabdikan diri kepada Allah S.W.T, untuk mendapatkan kejayaan di dunia dan akhirat. 
 
"Oleh itu, PAS yang menerajui Kerajaan Terengganu akan terus membawa agenda perjuangan ini terutama dalam bidang pendidikan Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. 
 
"Yakni memperjuangkan Islam sebagai akidah dan syariat serta menjadikannya panduan berpolitik dan bernegara," ujarnya.
 
Teks ucapan beliau itu dibaca oleh Pengerusi Jawataankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat pada Majlis Iftar Jamaie di Maahad Tahfiz Wal-Tarbiyyah (MTT) Tok Jiring, di sini kelmarin.
 
Kata Menteri Besar itu lagi, SAR merupakan institusi pendidikan yang berperanan terhadap pembangunan modal insan dan intelektual dalam masyarakat. 
 
Jelasnya, kerajaan melalui manifesto berjanji akan menambahkan sekolah menengah agama dan sekolah rendah agama, serta memberi geran tahunan kepada SAR. 
 
"Ini adalah komitmen kerajaan dalam membangunan Institusi Pendidikan Islam di Terengganu.
 
"Kerajaan juga akan memperuntukkan tabung biasiswa pelajar cemerlang sebanyak RM5 juta setahun untuk anak-anak Terengganu melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, sebagaimana yang dijanjikan dalam manifesto PRU4 lalu," tegasnya.
 
Dalam ucapan itu, Menteri Besar juga berharap agar Maahad Tahfiz dapat melahirkan lebih ramai lagi hufaz al-Quran dan terus berperanan sebagai mercutanda rakyat Terengganu negeri yang maju, berkat dan sejahtera. -HARAKAHDAILY 2/6/2018