Perhatian YB sinarkan kesuraman Ramadan

Berita
Typography
SUASANA Ramadan bagi enam beradik, nyata berbeza tahun ini kerana tiada lagi insan bergelar ayah untuk menemani mereka bersahur, berbuka puasa serta membeli kelengkapan raya.
 
Lebih membuatkan mereka berasa kehilangan pada pagi Aidilfitri nanti kerana tiada lagi tangan dapat menyambut salam kemaafan, sebaliknya diganti dengan menziarahi pusara ayahanda tercinta.
 
Enam beradik, abang sulong Syammir Irfan, 14, diikuti Muhammad Syawwal, 12, dan Muhammad Syamirin Hafiz, 10 tahun.
 
Tiga orang lagi adalah Muhammad Syakir Raiyan, 7, Noor Syafithia Baitrisya, 6, dan si bongsu Noor Syazfiena Nadira berusia 3 tahun.
 
Ibu mereka, Noor Baizura Razak, 34, kerana kedaifan untuk menerus kehidupan bersama anak-anak, terpaksa pulang tinggal keluarga ayahnya di Kemasik.
 
"Tiga anak iaitu tiga beradik ke atas, dengan berat hati terpaksa diserahkan kepada kawan arwah suami untuk dijaga, dan kini mereka tinggal bersama keluarga angkat di Kampung Payoh, Kijal tak (tidak) jauh dari sini.
 
"Persiapan Hari Raya anak-anak, satu pun tak buat lagi, sedih sangat bila anak-anak bertanyakan pasal baju raya," kata si ibu.
 
Noor Baizura yang masih belum mempunyai pekerjaan juga berkata, kehidupan mereka anak beranak bertukar menjadi suram apabila si suami, Mohd Sazali Mohd Safei meninggal dunia pada 10 Oktober tahun lepas.
 
"Arwah suami meninggal kerana masalah jangkitan kuman dalam darah dan semuanya berlaku terlalu cepat.
 
"Ketika saya dan anak-anak masih bergantung sepenuhnya kepada suami juga ayah untuk anak-anak, saya terlalu daif untuk meneruskan kehidupan tanpa suami," kata si ibu sebak.
 
Keluarga ini menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili di kediaman datuk anak-anak tersebut, di sini semalam.
 
“Saya cukup bersimpati dengan nasib Puan Noor Baizura dan anak-anak, mereka berpuasa dan beraya tanpa suami atau ayah.
 
"Tentu banyak kenangan anak-anak ini sewaktu arwah ayah mereka bawa beli baju raya di pusat membeli-belah.
 
"Tetapi kini semuanya hanya tinggal kenangan, walaupun sedih kerana ayah anak-anak ini sudah tiada, namun saya harapkan mereka tetap bergembira di Hari Raya ini," kata Ir Saiful Azmi lagi. -HARAKAHDAILY 4/6/2018