Tingkatkan imej PAS kepada rakyat

Berita
Typography
TEMERLOH: Ahli PAS termasuk wakil-wakil rakyat yang menang dalam PRU14 lalu perlu berusaha gigih mempertingkatkan perjuangan dan menjaga imej parti bagi merealisasikan slogan ‘PAS Teraju Pahang’ dalam PRU15.
 
Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Ustaz Rosli Abd Jabar berkata, cara berpolitik masyarakat Melayu adalah berbeza dengan cara berpolitik kaum lain.
 
“Pengundi Melayu ini mahu, wakil rakyat sentiasa berdampingan dengan mereka, sentiasa menemui mereka.
 
"Orang kata tugas wakil rakyat ialah menggubal dasar dan perundangan, memang betul. Tetapi rakyat mahu keberadaan wakil rakyat adalah bersama rakyat,” katanya.
 
Beliau berucap demikian pada Majlis Memperingati Badar Kubro, di Kompleks Al Makmur, di sini kelmarin.
 
Menurut Rosli, pengalaman sebagai Adun memperjelaskan keberadaannya bersama rakyat mampu meningkatkan imej parti sehingga ke tahap sekarang.
 
Jelasnya, daripada kawasan yang PAS langsung tidak berpeluang untuk menang kerana kalah dengan majoriti besar (3,908) pada 2004, PAS menang dalam PRU13 (bersama Pakatan Rakyat). 
 
Dalam PRU13 itu terangnya, PAS mendapat majoriti 796 undi dengan sokongan pengundi Cina dengan menang di semua peti Cina, tetapi kalah semua di peti undi Melayu.
 
Hal itu menurut beliau, berbeza dalam PRU14 apabila PAS hampir ‘kosong’ undi kaum Tionghua di mana empat peti undi kaum Cina yang memenangkan PAS dahulu, PAS tewas dan ketinggalan 2,000 undi. 
 
Namun ujarnya, PAS menang dengan majoriti 1,339 undi pada PRU14 di semua peti undi Melayu yang dahulunya tewas dalam PRU13 itu. -HARAKAHDAILY 4/6/2018