Jangan fitnah dibalas fitnah!

Berita
Typography

KUALA TERENGGANU: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tegas menolak pendekatan politik secara kotor, malah mengingatkan supaya tidak membalas fitnah dengan melakukan fitnah juga.

Sebaliknya, beliau menasihati Jentera Penerangan PAS supaya berpegang kepada prinsip syarak dengan berhenti dan menjauhi kempen yang menghampiri makruh, apatah lagi jika haram.

Perkara tersebut dikongsikan Ahli Jawatankuasa Kerja Penerangan PAS Pusat, Syaiful Hizam Abdul Aziz pada Majlis Berbuka Puasa Jentera Penerangan Bersama Menteri Besar di Sri Iman, di sini semalam.

Beliau yang mewakili Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan berkata, sekalipun PAS mungkin berpeluang menang PRU dengan kempen tidak berakhlak itu, namun Presiden PAS sama sekali tegas melarang.

Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah dan Setiausaha Politik Menteri Besar, Mahyuddin Abdul Rashid.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam ucapan beliau menyentuh cabaran media baharu yang berbeza lima tahun lalu dan akan datang, serta persediaan ahli-ahli dalam mengisi kemenangan.

“Kita kena gambarkan, kena jangkakan, lima tahun akan datang, cabaran yang mungkin tak sama dengan cabaran PRU baru-baru ini.

"Mengambil kira perubahan teknologi, aplikasi-aplikasi dan cara berkomunikasi yang ada, memerlukan tuan-tuan yang terlibat dalam IT, penyebaran maklumat, membetulkan fakta-fakta yang salah di kalangan rakyat.

"Dan jika kita fikir dari sekarang, membolehkan kita lebih bersedia untuk berdepan dengan suasana akan datang,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, jika hampir PRU baharu jentera mahu memulakan persiapan, ia mungkin menjadi suatu tugas berat untuk dilaksanakan, maka persiapan mesti diperkemaskan dari sekarang.

Serunya, sikap belajar daripada pengurusan media di negara-negara lain juga perlu dibuat sebagai ‘case study’ untuk pasukan media PAS lebih maju dan terkehadapan, contohnya di Indonesia bagi Pemilu yang terdekat.

Kerja media juga kata Dr Samsuri, tiada rehat kerana selepas habis PRU, maka akan terus membuka idea baharu bagi memantapkan lagi penyebaran maklumat agar sentiasa strategi PAS berada di hadapan lawan.

Sementara itu, Ustaz Mohd Nor dalam ucapannya menyatakan bahawa pandangan semua anggota dalam organisasi penerangan sentiasa diambil kira, tetapi pimpinan yang memutuskan.

"Sama ada sesuai atau tidak (pandangan itu) kerana tentera tidak boleh memaksa untuk pimpinan menerima mutlak cadangan mereka.

“Inilah sikap yang mesti diikuti oleh semua sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah tentera mesti taat sama ada suka atau tidak dengan arahan itu.

"Ada sesetengah sikap tentera yang suka melanggar disiplin arahan dari ketua, ini jelas satu sikap yang tidak boleh dipakai dalam organisasi,” tegas beliau.

Tambah beliau lagi, pasca PRU, PAS akan melakukan sesuatu yang lebih aktif dengan menyusun kembali pasukan media Terengganu bagi menyahut saranan Menteri Besar, agar ia lebih berkesan dalam menawan hati rakyat.

Beliau menggesa agar diberi keutamaan kepada imej Kerajaan Terengganu supaya ditonjolkan dengan lebih kemas dan teratur bagi memaklumkan kepada rakyat pelaksanaan dasar-dasar kerajaan yang telah dibuat. - HARAKAHDAILY 4/6/2018