MKD anjur 'Misi Ramadan Bersama Kaum Temiar’

Berita
Typography

GUA MUSANG: Misi Kembara Dakwah (MKD) menganjur 'Misi Ramadan Bersama Kaum Temiar’ di Pos Mendrod, pedalaman Gua Musang baru-baru ini.

Misi itu disertai 50 peserta membabitkan agensi kerajaan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan.Ia dianjur bersama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Kelab Sukan dan Kebajikan Kumpulan PKINK.

Timbalan Pengerusi MKD, Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, pihaknya menyampaikan bantuan kit makanan harian kepada penduduk di pos terbabit.

Selain itu katanya, mengadakan iftar dan solat tarawih bersama penduduk Muslim di samping menganjur kelas pengajian agama untuk kanak-kanak.

"Program ini berkonsep persaudaraan di mana setiap peserta digalakkan menyumbang di samping bergotong royong dalam setiap gerak kerja sepanjang program berlangsung.

"Ini merupakan program tahunan bersama masyarakat Orang Asli Pos Medrod, Lojing. Kami juga bercadang mengadakan majlis Hari Raya.

“Pos Mendrod merupakan kampung angkat MKD dan PKINK," katanya ketika ditemui selepas pelepasan konvoi di Machang baru-baru ini.

Pelepasan peserta konvoi dilakukan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Dato' Dr Wan Zawawi Wan Ismail.

Turut hadir, Yang Dipertua Kelab Sukan dan Kebajikan PKINK, Abdul Aziz Yunus dan Pengerusi Biro Kebajikan Dan Dakwah, Mohd Rozi Mohd Noor.
Program dua hari itu turut mendapat sokongan Majlis Agama Islam Kelantan, Syarikat Ladang Sungai Terah Sdn Bhd, Malaysian Relief Agency (MRA) dan Gabungan Sukarelawan Daerah Taiping.

Dr Wan Martina juga berkata, program itu cukup bermakna kerana mendapat kerjasama pelbagai pihak.

Pada program itu juga 64 keluarga beragama Islam menerima sumbangan bantuan makanan disampaikan Pengerusi MKD, Mohd Khalik Mohd Zari dan Pengurus Besar Ladang Sungai Terah, Zazali Japar.