Sehelai baju baru amat bermakna

Berita
Typography

PANDAN: Keseronokan memakai lengkap baju baru pada Aidilfitri jelas terpancar di wajah 41 orang kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah.

Golongan mewah dan pertengahan tidak timbul masalah untuk memiliki baju berjenama pada setiap kali sambutan Aidilfitri namun bagi mereka berpendapatan rendah ia merupakan hanya impian.

Atas tanggungjawab sosial, Naib Presiden PAS, Dato' Iskandar A Samad berusaha mewujudkan Projek Baju Raya anjuran Pertubuhan Forum Kesedaran Rakyat Negeri Selangor (FIKIR).

Menurut beliau, pada peringkat pertama seramai 41 orang kanak-kanak dari keluarga yang memerlukan telah menerima sumbangan RM100 setiap seorang untuk membeli baju raya.

Katanya, kumpulan kedua akan menerima sumbangan yang sama sebelum Aidilfitri.

Iskandar yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Pandan berkata, Projek Baju Baru itu telah dilancarkan pada 30 Mei dan dalam masa empat hari sumbangan orang ramai telah cukup untuk membeli baju raya.

"Terima kasih kepada para penyumbang. Semoga Allah SWT memberkati anda sekeluarga. Sumbangan masih diterima untuk penyampaian kepada kumpulan kedua sebelum raya.

“Saya percaya sebarang sumbangan perlu disampaikan kepada yang memerlukan dan bukan secara rambang," katanya.

Tambah beliau, ada orang yang sanggup membelanjakan RM100 untuk sekali berbuka puasa di hotel tetapi RM100 juga dapat membelikan baju raya yang akan dipakai oleh seorang kanak-kanak sehingga raya tahun hadapan.