Kerajaan negeri hulur bantuan kepada semua

Berita
Typography
MARANG: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah menegaskan, kerajaan akan menghulurkan bantuan kepada semua mereka yang layak menerima bantuan, tanpa mengira latar belakang.
 
Pendirian ini jelasnya, adalah bersesuaian dengan konsep Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) yang menjadi teras kepada agenda kasih sayang ditekankan oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
 
“Menjadi tanggungjawab kerajaan memerintah untuk memberikan hak kepada rakyat yang layak, mendapatkan sesuatu yang kerajaan janjikan.
 
"Kita mahu memahamkan rakyat bahawa BPMS ini adalah satu pendekatan yang dituntut oleh agama, iaitu kita tidak mahu pertikaian, tetapi persefahaman sesama masyarakat.
 
"Sifat kasih sayang kepada rakyat adalah suatu yang kerajaan tekankan, tanpa mengira siapa mereka,” tegas beliau dalam ucapannya.
 
Beliau yang juga Adun Bukit Payong berkata demikian dalam program bantuan yang dinamakan Sinar Ramadan anjuran Kerajaan Negeri dan diuruskan oleh Majlis Tindakan Dun (MTD) Bukit Payung, pagi tadi.
 
Antaranya lagi, beliau menekankan supaya ketua keluarga lebih bertanggungjawab dalam menyara keluarga mereka, kerana semakin banyak kes pengabaian nafkah yang berlaku akhir-akhir ini.
 
“Jangan kita hanya bersegera datang apabila ada program bantuan sebegini sahaja, tetapi mestilah juga mendatangi solat berjemaah dan juga majlis-majlis ilmu, supaya kita sentiasa faham tanggungjawab kita,” pesan beliau.
 
Seramai 520 orang penerima bantuan dari seluruh Dun Bukit Payung, menerima bantuan makanan dan minuman asas bagi persiapan menyambut Aidilfitri.
 
Majlis yang diadakan di Dewan Madrasah Darul Iman itu turut dihadiri oleh Penghulu Mukim Pengadang Buluh dan Atas Tol, Abdul Halim Ismail dan Penghulu Mukim Bukit Payung (Pekan), Zafiri Ahmad Zaki.
 
Manakala Penyelaras Program, Mat Ghani Jusoh berkata, beliau dan pasukan kebajikan merasa bersyukur kerana berjaya melaksanakan tugas membantu kerajaan mengagihkan bantuan buat kali pertama.
 
Tambah menggembirakan beliau, kerana sebelum ini mereka menghadapi kesukaran menapis bantuan kepada yang benar-benar susah sahaja ataupun nilai bantuan terpaksa dikecilkan kerana kekangan kewangan.
 
“Tahun-tahun lalu, hanya lebih kurang 200 orang penerima sahaja dan tahun ini kita tambah lebih sekali ganda mereka yang layak, tanpa mengira parti.
 
"Kami sangat gembira kerana berpeluang melakukan kebajikan membantu kerajaan negeri dengan program agihan ini.
 
"Tentunya kami berterima kasih kepada pengundi yang telah memberikan kepercayaan kepada kami untuk memerintah,” kata beliau. -HARAKAHDAILY 8/6/2018