Umno gagal sekat gelombang 1MDB, GST

Berita
Typography

KOTA BHARU: Pertembungan isu 1MDB dan GST akhirnya menjadi gelombang rakyat sehingga menyebabkan Umno dan Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan kerajaan di Putrajaya yang diwarisi sejak merdeka.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kedua-dua isu tersebut sudah melekat di minda rakyat, di mana mereka menggunakan kesempatan Pilihan Raya Umum (PRU) 14, 9 Mei lepas bagi menolak Umno dan BN.

Katanya, pertembungan arus kedua-dua isu itu menjadi gelombang besar sehingga BN gagal mempertahankan kerajaan di Putrajaya dan beberapa negeri.

“Arus yang serupa juga cuba dicipta bagi menumbangkan kerajaan PAS Kelantan sehingga mereka mencipta pelbagai kajian yang menggambarkan PAS tidak dapat mempertahankan satu kerusi pun pada PRU14.

“Mereka mengolah persepsi tersebut dengan alasan perpecahan pembangkang akan memberi keuntungan kepada Umno dan BN, sehingga ramai menyebut PAS akan kalah di Kelantan.

“Namun mereka tidak mampu mengatasi kuasa Allah SWT yang mengatur segala-galanya,” katanya pada ceramah Badar Qubra di Madinah Ramadan, Dataran Stadium Sultan Muhammad Ke IV malam tadi.

Hadir sama pada program itu yang diadakan selepas solat tarawih termasuk anggota Exco kerajaan negeri, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat dan pegawai kanan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam. - HARAKAHDAILY 11/6/2018