Lagi laporan polis individu hina Agong

Berita
Typography

KUANTAN: Pemuda PAS Pahang membuat laporan polis terhadap beberapa individu yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu.

Laporan tersebut dibuat Pengarah Pilihan Rayanya, Mohd Shamsuri Husein yang meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat individu dan dalang terlibat dalam cubaan menghina institusi beraja.

Katanya Pemuda PAS Pahang memberi amaran keras kepada pihak yang cuba menjatuhkan institusi beraja di negara ini.

“Kami yakin ada dalang sehingga menyebabkan individu terbabit berani mencabar institusi beraja di negara ini,” katanya selepas membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan hari ini.

Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu dan Exco Dewan Pemuda PAS Pahang.

Andansura yang juga Adun Beserah berkata, sebanyak 15 laporan polis akan dibuat di semua Ibu Pejabat Polis Daerah di Pahang bagi mendesak siasatan dilakukan terhadap individu yang mecuba menjatuhkan imej Yang di-Pertuan Agong dan institusi Raja Melayu.

Menurutnya juga laporan turut dibuat ke atas tiga pemilik akauan Facebook Eloise Cian, Prem Keshan dan Ahmad Ridzuan Shamsuri yang didakwa menulis komen-komen tidak wajar.

"Kita melihat ada segelintir individu cuba menjatuh dan menghina Yang di-Pertuan Agong dan institusi Raja Melayu.

“Justeru tindakan tegas perlu diambil bagi mengelak perbuatan tindak bertanggungjawab itu terus dilakukan pada masa akan datang.

"Provokasi ini perlu dihentikan segera dan institusi Raja Melayu perlu dilindungi supaya tidak mengganggu keharmonian Negara. Rakyat perlu menghormati perlembagaan," katanya. – HARAKAHDAILY 11/6/2018