Muslimat bantu lonjak pengaruh PAS di Pahang

Berita
Typography

TEMERLOH: Dewan Muslimat PAS Pahang memainkan peranan besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, 9 Mei lalu sehingga berjaya melonjak kedudukan PAS di negeri itu.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abd Jabar berkata, petugas muslimat berjaya menarik ramai pengundi atas pagar bagi menyokong PAS.

Malah katanya, wanita Umno pun hadir pada program yang dianjurkan PAS termasuk ceramah kelompok dan program khusus untuk wanita.

"Mereka sangat gigih dalam kerja merayu undi, bergerak dari rumah ke rumah, di samping sangat membantu dalam gerak kerja calon," katanya ketika merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS Pahang kali ke-30 di Darul Amin, Sungai Gau, Temerloh kelmarin.

Seramai 106 perwakilan dari 14 kawasan parlimen menyertai muktamar tersebut.

Rosli juga berkata, kejayaannya mempertahankan kerusi Tanjung Lumpur walau pun tanpa sokongan kaum Tionghua kerana jentera muslimat berfungsi dengan cemerlang di setiap Unit Peti Undi.

Katanya, bukan di Dun Tanjung Lumpur sahaja, bahkan maklumat yang diterima di seluruh Pahang, jentera Muslimat sangat aktif dan berfungsi cemerlang.

“Sumbangan muslimat berjaya mempengaruhi keputusan pilihan raya yang membolehkan PAS Pahang melakar sejarah memenangi lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun),” katanya.

Pada muktamar itu turut diadakan anugerah ‘Bakti Disanjung Kasih Dijunjung’ diterima Ustazah Khadijah Harun dari Bentong, manakala anugerah ‘Tokoh Muslimat Muda Pahang’ diterima Nur Soliha Mohd Shah dari Indera Mahkota.

Hadir sama pada perasmian muktamar tersebut Setiausaha Perhubungan PAS Pahang, Roslan Zainal Al Ahmadi. - HARAKAHDAILY 12/6/2018