Adun bantu rumah penduduk diterbang ribut

Berita
Typography

KUALA KRAI: Sebuah keluarga di Kampung Karangan terkejut apabila bumbung rumahnya diterbangkan ribut yang melanda menjelang solat tarawih malam tadi.

Hasnah Che Gas, 60 berkata, beliau terkejut dan tergaman dengan kejadian itu kerana ia berlaku sekelip mata.

“Namun saya bersyukur kerana 7 beranak yang tinggal di rumah ini termasuk cucu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika ditemui selepas lawatan Adun Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah hari ini.

Hadir sama menziarah mangsa ribut, Penghulu Mukim Manjor, Mohd Asri Mohd Nor, Penghulu Mukim Gajah Timur, Rafdi Mohd Nor dan Setiausaha Majlis Tindakan Dun Manek Urai, Mohd Sakri Ibrahim.

Mohd Fauzi berkata, beliau akan berusaha membantu keluarga terbabit bagi membolehkan mangsa membaiki semula bumbung rumah yang diterbangkan ribut.

“Bagaimanapun saya bersyukur kerana mangsa dan keluarga tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Hasnah turut merakam ucapan terima kasih kepada Adun Manek Urai yang segera menziarahinya selepas kejadian malang itu berlaku.

Manakala sebuah lagi rumah di kawasan berhampiran hanya mengalami kerosakan kecil apabila ditimpa pokok yang tumbang. - HARAKAHDAILY 12/6/2018