Ummah pertahan ketuanan Melayu-Islam

Berita
Typography

KOTA BHARU: Gerakan Pembela Ummah (Ummah) yang menggabungkan lebih 300 NGO Islam dari seluruh negara mengunjungi hormat anggota Exco kerajaan negeri, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat.

Wan Roslan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO berkata, pelbagai isu dan cadangan dikemukakan pada pertemuan tersebut.

Antaranya kata beliau isu-isu hangat yang melanda negara sekarang termasuk tekanan terhadap Islam, institusi Diraja dan ketuanan Melayu pasca Pilihan Raya Umum (PRU) 14.

“Beberapa kesepakatan juga dicapai dalam perjumpaan bermakna tersebut bagi memastikan Islam dan Melayu kekal dipertahan di era kerajaan sekarang,” katanya selepas pertemuan itu semalam.

Timbalan Pengerusi Ummah, Dato’ Seri Zakaria Jaafar mengetuai delegasi 20 pimpinan NGO-NGO yang bernaung di bawah NGO itu.

Hadir sama di JKR 10 tersebut Pengarah Urusetia Belia, Sukan dan NGO (U-Bes), Ustaz Nasrudin Muhaidin Mahmood.

Ummah menggabungkan NGO yang memfokus perjuangan pembelaan terhadap Islam, Melayu dan Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. – HARAKAHDAILY 13/6/2018