PRU14: Tohmahan media sosial vs munajat

Berita
Typography

KOTA BHARU: Menteri Besar melahirkan perasaan terharu di atas kesungguhan anak-anak perantau yang bersusah payah pulang pada 9 Mei lepas bagi mempertahankan kerajaan Islam Kelantan.

Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, anak perantau yang tinggal di pelbagai tempat sanggup balik bagi mengekalkan kerajaan Kelantan di bawah dasar Merakyat Membangun Bersama Islam.

Katanya, Pilihan Raya Umum (PRU) lepas memberi cabaran yang gentir apabila pelbagai maklumat salah terhadap Kelantan ditular di media sosial.

“Banyak tohmahan yang tidak betul dilemparkan terhadap PAS dan kerajaan negeri. Pihak musuh menguasai media sosial secara berleluasa.

“Namun dalam masa yang sama kita meneruskan program munajat sejak tahun lepas secara berterusan sehingga hampir PRU bagi mengadu kepada Allah Taala,” katanya pada takzirah khas di Madinah Ramadan malam tadi. (Foto atas: Anak-anak perantau mengambil peluang bersama dengan MB.)

Hadir sama anggota-anggota Exco, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat, Dr Izani Husin dan pegawai Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI).

Sempena program itu juga Menteri Besar meraikan anak-anak perantau yang pulang bercuti sempena Aidilfitri.

Mereka menikmati moreh disediakan MPKB BRI selepas selesai solat tarawih.

Sebelum itu imam Madinah Ramadan, Syeikh Hisham Abdul Bari membaca doa khatam al Quran di akhir solat tarawih yang mengambil masa hampir setengah jam.

Orang ramai yang hadir sebahagian besar anak-anak perantau juga berpeluang menikmati kemerduan suara dan bacaan taranum imam kedua Madinah Ramadan, Sheikh Yasin Al Syarqawi.

Anak-anak perantau yang baru pulang juga masih berpeluang berkunjung ke Madinah Ramadan malam ini untuk menunaikan solat tasbih.

Manakala pagi esok akan diadakan solat sunat Aidilfitri. Pada 5 Syawal pula akan diadakan Rumah Terbuka PAS Kelantan sempena Aidilfitri juga di lokasi sama. – HARAKAHDAILY 14/6/2018