Jalin kerjasama tangani jenayah musim perayaan

Berita
Typography
KEMAMAN: Adun Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili komited mengadakan kerjasama dengan pihak polis dalam usaha memastikan keselamatan dan keharmonian masyarakat dapat diwujudkan.
 
Menurut beliau, pihaknya cukup mengambil berat dan cuba membantu pihak polis khususnya Balai Polis Kertih menangani perlakuan jenayah terutama kes pecah rumah di musim perayaan.
 
Komitmen itu dinyatakan beliau ketika mengadakan kunjungan kepada Ketua Balai Polis Kertih, Inspektor Mohd Azuan Abdul Aziz di balai tersebut, di sini kelmarin.
 
Ir Saiful dimaklumkan, semua anggota polis telah digerakkan untuk tugas rondaan pencegahan jenayah, risikan operasi dan pemantauan premis kediaman dan perniagaan sepanjang perayaan.
 
"Pihak polis akan terus melaksanakan fungsi dan peranan memastikan keselamatan masyarakat serta kepentingan harta benda awam dan rumah persendirian yang ditinggalkan sentiasa dalam keadaan selamat.
 
"Bagi mencapai objektif ini, polis tidak mampu bertindak sendirian. Saya menggesa masyarakat yang merancang meninggalkan kediaman masing-masing hendaklah mengambil langkah keselamatan yang difikirkan perlu.
 
"Di samping mengisi borang pemakluman balik kampung yang boleh diperoleh di balai ini," seru Inspektor Azuan memaklumkan perkhidmatan pemantauan oleh pihaknya itu.
 
Pada pertemuan tersebut, beliau turut mengutarakan cadangan untuk pihak Adun mengaktifkan kembali peranan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarelawan (SRS).
 
Terang beliau, usaha sedemikian dapat membantu pihak polis dalam menjaga keselamatan masyarakat menerusi kerjasama dari badan sukarela seperti itu.
 
Ir Saiful dalam pada itu mengalu-alukan hasrat tersebut dan turut menyeru orang awam yang akan pulang ke kampung mengisi borang disediakan pihak polis bagi pemantauan kediaman. -HARAKAHDAILY 14/6/2018