Adun Kemasik ziarah mangsa mercun

Berita
Typography
KEMAMAN: Adun Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa tragedi mercun bola, Putera Hairirishah Mohd Alif Shah Aminruddin, 7 tahun.
 
Beliau telah mengunjungi kanak-kanak tersebut dan keluarganya yang tinggal menumpang di rumah nenek mereka, Saidah Abdullah di Rumah Murah Kemasik, di sini kelmarin.
 
Ziarah tersebut dilakukan Ir Saiful sehari selepas mangsa keluar dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan setelah empat hari mendapat rawatan di sana.
 
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam pada 7 Jun lalu, mangsa dikatakan terkena percikan api belerang dibakar rakannya menyebabkan muka kanak-kanak itu melecur teruk.
 
Menurut ibu mangsa, Nor Wardah Mohammad, insiden itu dipercayai berlaku apabila rakan mangsa bertindak mengumpul belerang daripada beberapa biji mercun bola.
 
"Kawan Angah (panggilan keluarga) kemudian cucuh api pada belerang dan percikan api yang menyala terkena pada muka Angah yang ketika itu berada berhampiran.
 
"Angah yang pada awalnya dikejarkan ke Hospital Kemaman disahkan mengalami lecur kulit tahap dua pada bahagian muka," jelasnya.
 
Pihak keluarga juga memberitahu, kanak-kanak tersebut akan mendapat rawatan yang mengambil masa panjang serta perlu dirujuk kepada ramai pakar perubatan. 
 
Nor Wardah turut memaklumkan, keadaan anaknya itu stabil dan dibenarkan pulang oleh pegawai perubatan, tetapi perlu berjumpa doktor pakar pada temu janji akan datang.
 
Ir Saiful pada ziarah itu turut memberi perhatian terhadap keperluan boleh dipertimbang untuk keluarga tersebut yang telah 10 tahun masih tinggal menumpang di rumah ibu bapa.
 
Beliau juga berharap pihak berkuasa menggiatkan pemantauan jualan mercun yang walaupun menjadi pendapatan tambahan kepada individu tertentu tetapi mudarat berlaku lebih perlu diberi perhatian serius. -HARAKAHDAILY 14/6/2018