OMR rosak dibimbangi keabsahan SPM

Berita
Typography

PERSATUAN Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) melahirkan kebimbangan sekiranya isu mesin pembaca tanda optik (OMR) yang rosak baru-baru ini bakal menjejaskan keputusan dan prestasi pencapaian SPM.

Pengerusi Pendidik Normala Sudirman, berkata, pihaknya menerima pelbagai aduan ibu bapa yang melahirkan rasa gusar dan keresahan terhadap keputusan yang bakal diterima oleh anak -anak mereka pada 16 Mac 2017 ini.

"Persoalannya, apakah mekanisme yang bakal digunakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengatasi masalah mesin yang rosak ini?

"Bagaimana dari segi keabsahan keputusan SPM yang bakal diterima supaya tidak meragukan calon SPM, ibu bapa, warga pendidik dan pihak sekolah?" katanya kepada Harakahdaily.

Dilaporkan mesin pemprosesan OMR yang rosak telah menyebabkan keputusan SPM telah lewat dikeluarkan dan bakal dikeluarkan pada 16 Mac 2017

Tegasnya, kekangan kewangan bagi kos membaiki mesin OMR yang diakui dan menjadi tular di media sosial amat dikesali kerana ia dibimbangi bakal menjejaskan kredibiliti KPM dan Lembaga Peperiksaan (LP) di mata masyarakat dan pelbagai pihak.

Beliau yang juga AJK Lajnah Pendidikan PAS Pusat berkata, pengumuman keputusan SPM yang sepatutnya keluar pada 2 Mac 2017 telah ditunda ke 16 Mac 2017 telah menimbulkan keresahan ibu bapa dan warga pendidik serta pihak sekolah.

"Apa yang sangat dikesali, mengapa mesin OMR ini seolah-olah dikesampingkan dan tidak diselenggara secara berkala sehingga jadi rosak dan dibimbangi bakal menghakis keyakinan rakyat terhadap kredibiliti Lembaga Peperiksaan," tegasnya lagi.

Seharusnya jelas beliau, bajet bagi urusan pendidikan dan pembangunan modal insan tidak harus dipotong atau dikecilkan kerana  secara tidak langsung ia akan menjejaskan masa depan anak bangsa yang merupakan generasi pelapis masa hadapan tegasnya lagi

Walau bagaimanapun, Pendidik mengharapkan agar kejadian seperti ini tidak berulang lagi dan semoga apa juga keputusan SPM yang bakal diterima oleh pelajar yang mengambil peperiksaan SPM pada esok hari dapat diterima dengan tenang dan lapang dada oleh semua pihak.

Dalam pada masa yang sama, Pendidik mendesak agar bajet pendidikan diberi peruntukan yang besar oleh kerajaan supaya kejadian seperti ini tidak berulang lagi.

"Kami juga terkejut bagaimana semua guru di Malaysia telah diberi telefon bimbit percuma dan modem Yes, yang pastinya jumlah keseluruhan menelan kos jutaan ringgit atas nama untuk 'memajukan masa depan anak bangsa', tetapi dalam masa yang sama mesin OMR sepenting itu untuk peperiksaan SPM diabaikan," katanya. – HARAKAHDAILY 15/4/2017