Kelantan miliki kelebihan transparansi, integriti

Berita
Typography

KOTA BHARU: Biarpun Kelantan dianggap ketinggalan dalam bidang pembangunan berbanding negeri-negeri lain, namun mempunyai kelebihan aspek transparansi dan integriti.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri n, Dr Izani Husin berkata, kejayaan dalam dua aspek tersebut membolehkan kerajaan Kelantan mendapat anugerah di peringkat persekutuan.

Katanya, kejayaan itu hasil dasar Membangun Bersama Islam yang menjadi amalan tadbir urus sejak 1990 sehingga sekarang.

“Dasar yang diamalkan itu membolehkan kita melaksanakan tadbir urus dengan baik dan diiktiraf kerajaan persekutuan,” katanya di sini.

Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan menerima markah 99 peratus bagi Prestasi Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti 2016 dalam Laporan Ketua Audit Negara 2016.

Dr Izani juga berkata, kerajaan negeri pada penggal ini berusaha meningkatkan aspek kebersihan dengan melaksanakan pelbagai program termasuk kempen Kelantanku Bersih.

Kata beliau kempen itu diadakan di beberapa jajahan bermula Ramadan lepas dan mendapat sambutan penduduk tempatan.

Menurutnya juga program meningkatkan kebersihan menjadi lebih mudah apabila kerajaan baharu di Putrajaya memberi komitmen membayar royalti petroleum kepada Kelantan.

– HARAKAHDAILY 3/7/2018