Kemelut Speaker Dun Kedah berakhir

Berita
Typography

ALOR SETAR: Kemelut jawatan Yang Dipertua (Speaker) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah berakhir pada hari ini apabila dengan rasmi disandang oleh Dato' Ahmad Kassim, calon dari Blok Pakatan Harapan (PH).

Pengumuman berkenaan dibuat Setiausaha Dewan Undangan Negeri, Iqbal Ahmad, apabila Ahmad mendapat sokongan dan 21 undian dari 36 Adun Kedah dan melayakkannya memegang jawatan berkenaan.

Sementara itu, calon dari pembangkang daripada PAS, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi, mendapat 15 undi.

Pengundian dijalankan mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah sempena Sidang Dun Kedah yang berlangsung pada hari ini.

Ketua pembangkang, Muhammad Sanusi Mohd Nor (PAS-Jeneri) mengumumkan nama calon jawatan berkenaan daripada pihak pembangkang.

Sementara calon daripada Blok PH diumumkan oleh Adun Pengkalan Kundur, Dato' Dr Ismail Salleh.

Sidang Dun pertama selepas PRU14 ini juga menyaksikan majlis angkat sumpah Adun-Adun Kedah. - HARAKAHDAILY 4/7/2018