Terengganu harap Kerajaan PH tidak halang RUU355

Berita
Typography

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu yang baharu mengambil alih pemerintahan negeri ini lebih ke arah proses memberi pendidikan, kempen serta penerangan bagi menyedarkan masyarakat dan bukan menghukum.

Demikian dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, di sini semalam.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri dalam proses penambahbaikan kepada Mahkamah Syariah, Jabatan Penguatkuasa dan juga Jabatan Pendakwaan.

Dalam masa yang sama katanya, masyarakat akan diberikan pendidikan, kempen dan penerangan bagi Pelaksanaan Syariah di negeri ini.

"Di bawah portfolio ini, kita mulakan dengan proses pendidikan, kempen dan penerangan bagi menyedarkan masyarakat khususnya kepada generasi baharu orang muda.

"Saya tengok kebanyakkan orang muda sekarang sudah ramai memahami dan mempraktikkan tentang Islam. Ini kerana, mereka lahir dari Pendidikan Islam yang diwujudkan hari ini.

"Sebab itu, manifesto kita (PAS) pada pilihan raya lalu mahu menambahkan pusat-pusat Pendidikan Islam bagi memenuhi permintaan rakyat," ujarnya.

Persoalan itu menuntut penjelasan dari soalan lisan asalnya oleh Adun Buluh Gading, Ustaz Ridzuan Hashim, apakah usaha dan perancangan kerajaan dalam memperkasakan pelaksanaan Syariah di negeri Terengganu.

Sehubungan itu, kata Ustaz Saiful Bahri, Kerajaan Negeri menghadapi kekangan dan pemisahan bidang kuasa dengan Kerajaan Pusat.

"Kita (Terengganu) ada kekangan dan pemisahan bidang kuasa yang di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri dan bidang kuasa Kerajaan Pusat.

"Sebab itu, kita (PAS) melalui Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang telah membawa usul (RUU355) dan harap dapat dibahas di Parlimen akan datang ini.

"Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 itu akan memberi bidang kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menghukum lebih, yang boleh dilaksanakan kepada sebahagian dari Undang-undang Syariah. Tetapi, melibatkan hudud masih tidak boleh buat lagi," tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka, berharap agar Kerajaan Pusat di bawah Pakatan Harapan lebih mesra dengan Pelaksanaan Syariah Islam.

"Sebahagian besar dari Enakmen Hudud dan Qisas itu akan boleh dilaksanakan jika RUU Akta355 diluluskan, InsyaAllah.

"Kita tengok kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baharu memerintah pusat inilah. Jika dia (PH) tidak beri kelulusan itu maknanya, kita hanya (dibenar) melibatkan bidang kuasa takzir sahaja.

"Sekarang kita hanya boleh laksanakan sebahagian sahaja dari Enakmen Jenayah Syariah sebagaimana yang telah diluluskan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri pada 2002," ujarnya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah yang melibatkan hudud dan qisas itu hanya terpakai kepada orang Islam sahaja.

"Ini (Enakmen) hanya melibatkan orang Islam sahaja termasuk dalam isu hudud dan qisas, tidak melibatkan orang bukan Islam. Itu hanya untuk orang Islam sahaja.

"Kita (kerajaan PAS) harap pihak kerajaan PH lebih mesra ke arah Pelaksanaan Syariah Islam di negeri ini," tegasnya.

Persidangan Dun Terengganu kali ini berlangsung selama empat hari iaitu hari pertama majlis mengangkat sumpah 32 orang ahli-ahli dewan, hari kedua berlangsungnya Istiadat Pembukaan Dun Terengganu oleh Sultan Terengganu dan hari ketiga serta keempat, persidangan penuhnya. -HARAKAHDAILY 4/7/2018