LGE, TT manifestasi PH pinggir BM

Berita
Typography
KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) mesti menunjukkan kesungguhan mempertahankan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Jangan memberi isyarat yang salah kepada rakyat bahawa PH telah meruntuhkan tonggak asas bernegara yang telah dipersetujui oleh semua kaum. 
 
Sebelum ini, Lim Guan Eng menggunakan Bahasa Mandarin dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan beliau serta mempertahankan tindakan itu. 
 
Malang lagi, pimpinan PH turut membela Menteri Kewangan tersebut dengan menganggap isu tersebut adalah kecil.
 
Sedangkan, Perkara 152(1)(a) Perlembagaan Persekutuan telah secara jelas menyatakan akan keperluan penggunaan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan.
 
Semalam pula, Tommy Thomas yang mengetuai pasukan Pendakwa Raya ke atas kes melibatkan DS Najib Razak memohon agar prosiding di Mahkamah Tinggi dijalankan menggunakan Bahasa Inggeris. Ia barangkali berikutan penguasaan Bahasa Melayu yang lemah oleh beliau.
 
Sidang media yang mahu diadakan oleh beliau selepas itu juga turut dibatalkan pada peringkat awal selepas didesak oleh orang ramai supaya beliau menggunakan Bahasa Melayu.
 
Selaku Peguam Negara, beliau sepatutnya lebih memahami akan tuntutan Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang mahukan segala prosiding dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi atau mana-mana Mahkamah Rendah dijalankan menggunakan Bahasa Kebangsaan. 
 
Keadaan ini juga menunjukkan sebenarnya seawal mencadangkan nama Tommy Thomas untuk dilantik sebagai Peguam Negara dahulu, Kerajaan PH tidak prihatin terhadap Seksyen 11(2) Akta Profesyen Undang-undang 1976 yang menyatakan “tiada seseorang pun berkelayakan boleh diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara melainkan, sebagai tambahan pada memenuhi kehendak subseksyen (1), dia telah lulus atau dikecualikan daripada Peperiksaan Kelayakan Bahasa Malaysia
 
Insiden ini jelas merupakan manifestasi bahawa Bahasa Melayu semakin dipinggirkan oleh PH yang menerajui Kerajaan. Rakyat perlu bangkit menegur kepincangan ini. 
 
Sekian.
 
”Sejahtera Bersama Islam”
 
DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
05 Julai 2018 | 21 Syawal 1439H
-HARAKAHDAILY 5/7/2018