Seramai 32,411 ibu tunggal di T'ganu

Berita
Typography
KUALA TERENGGANU: Dewan Undangan Negeri (Dun) diberitahu, bahawa negeri ini mempunyai jumlah ibu tunggal yang agak ramai mencecah 32, 411 orang.
 
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat berkata, jumlah tu berdasarkan perangkaan terakhir bulan (Jun) lalu.
 
Menurutnya, Terengganu juga merekodkan seramai 28 ibu tunggal adalah di bawah umur 20 tahun.
 
"Seramai 4,783 ibu tunggal pula berusia 31 hingga 40 tahun, 6,506 orang (41 hingga 50 tahun), 9,556 orang (51 hingga 60 tahun) dan 9,528 orang (61 tahun ke atas).
 
"Daerah Kemaman merekodkan bilangan tertinggi ibu tanggal seramai 5,279 orang dan diikuti dengan Besut (4,768), Marang (4,305), Kuala Terengganu (3,925), Kuala Nerus (3,658), Setiu (3,307), Dungun (4,182) dan Hulu Terengganu seramai 2,987 orang," jelasnya.
 
Beliau memaklumkan demikian ketika menjawab soalan lisan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau Abang, Alias Harun pada Persidangan Dun Terengganu ke-14, Penggal Pertama di Wisma Darul Iman, di sini kelmarin.
 
Berkait dengan program bantuan Pinjaman Jaya Diri (PJD) kepada ibu tunggal, Hanafiah menjelaskan, Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu memperuntukkan sebanyak RM474,000 bagi membantu ibu tunggal.
 
Katanya, bantuan YPK itu bagi membantu seramai 52 ibu tunggal menceburi diri dalam bidang perniagaan enam bulan pertama tahun ini.
 
"Rata-rata bidang yang diceburi mereka (ibu tunggal) adalah bidang kecantikan, pakaian dan perusahaan makanan," ujarnya.
 
Menurutnya, Kompleks Ibu Tunggal di Chendering yang dibangunkan dengan kos RM4 juta itu mampu memperkasakan golongan tersebut.
 
Terang beliau, fokus utama kepada bimbingan ekonomi, kemahiran, perundangan, kekeluargaan disamping kesihatan dan kemasyarakatan. -HARAKAHDAILY 6/7/2018