TPC kenal pasti projek bernilai RM5 bilion

Berita
Typography

KUALA TERENGGANU: Majlis Petroleum Terengganu (TPC) telah mengenalpasti beberapa projek melibatkan kerja-kerja dan operasi di perairan negeri itu yang mampu dilaksanakan syarikat negeri dengan anggaran projek bernilai sekitar RM5 bilion.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, melalui rundingan juga sebuah anak syarikat kerajaan negeri telah dianugerahkan projek oleh Petronas sekitar harga RM30 juta.

"Ianya sebagai permulaan untuk kerja-kerja berkaitan yang lebih besar nilainya. TPC juga sedang berbincang dengan Petronas tentang minat kerajaan negeri untuk bidang penerokaan dan pengeluaran dengan keutamaan diberi kepada Brown Field atau Marginal Field.

"Brown Field Oil atau Gas Field yang sudah matang dan mungkin ada tanda-tanda pengurangan pengeluaran. Marginal Field Oil atau Gas Field yang berkemungkinan menghasilkan production yang sedikit (perlaburan berisiko tinggi)," ujarnya kepada ahli dewan.

Beliau berkata demikian ketika melakukan penggulungan Mensyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu ke-14, di Wisma Darul Iman, di sini kelmarin.

Mengenai isu Telaga Minyak Bertam (PM 307), terang beliau, Jawatankuasa Bersama Teknikal (JBT) yang akan dipengerusikan Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Pahang dan Terengganu akan bersidang bagi mendapatkan persetujuan bersama berkaitan perkara tersebut.

"Pertama, mengkaji titik akhir sempadan darat negeri Terengganu dan Pahang. Kedua, Kerajaan Negeri Terengganu dan Kerajaan Negeri Pahang boleh memulakan rundingan sempadan maritim antara kedua-dua negeri.

"Dan ketiga, menjalankan kerja-kerja penandaan dan pengukuran baki sempadan darat negeri Terengganu dan Pahang ke titik akhir sempadan darat," jelasnya lagi.

Menurut beliau, setelah persetujuan bersama tersebut, pihak kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan bersama Kerajaan Persekutuan dan Petronas berkaitan tuntutan royalti minyak Telaga Bertam itu.

Dalam isu hak royalti petroleum pula, jelas Menteri Besar itu, Kerajaan Negeri masih berpegang kepada komitmen Perdana Menteri pada pertemuan pertamanya.

"Sebagaimana yang semua maklum, kita (Terengganu) berpegang kepada komitmen yang diberikan oleh YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Secara prinsipnya, royalti petroleum akan diberikan secara terus kepada kerajaan negeri tanpa melalui jabatan atau agensi yang lain," ujarnya.

Namun terangnya, Kerajaan Terengganu juga mencari mekanisma lain bagi menjana hasil negeri selain dari kebergantungan dengan royalti minyak.

"Sebagai tambahan, Jawatankuasa Hasil Negeri ditubuhkan juga boleh mengkaji mekanisma telah digunapakai di negeri-negeri lain untuk dilaksanakan mengikut kesesuaian, ke arah meningkatkan hasil negeri di samping melaksanakan dasar berbelanja secara berhemat," katanya. -HARAKAHDAILY 6/7/2018