Pembangunan Zon Bebas Cukai diteruskan

Berita
Typography

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri akan meneruskan pembangunan Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir di Pulau Bayas kerana projek itu sudah melepasi 77.53 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ustaz Ariffin Deraman berkata, projek yang belum siap itu perlukan peruntukan sekitar RM60 juta lagi.

"Sehingga 31 Oktober 2017 lalu, projek yang mempunyai enam pakej itu telah disiapkan sebanyak 77.53 peratus dengan kos perbelanjaan sebanyak RM144 juta.

"Kita (kerajaan) akan meneruskan pembangunan Tasik Kenyir di Hulu Terengganu itu kerana ianya bukan hanya produk pelancongan utama, tetapi projek mega berkenaan sudah melepasi 50 peratus siap.

"InsyaAllah, kita akan teruskan namun ianya juga bergantung kepada kewangan semasa Kerajaan Negeri dan kami di pihak Exco sudah bincang untuk menilai projek di Pulau Bayas dan projek-projek lain di Tasik Kenyir itu," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu ke-14, di Wisma Darul Iman, di sini kelmarin.

Namun menurutnya, Kerajaan Negeri tidak boleh memberi jaminan dalam waktu terdekat ini dapat menyediakan peruntukan sebanyak RM63 juta yang diperlukan itu.

Jelas beliau, komitmen kerajaan juga akan menilai semula dan jika dihentikan terus sudah pasti membazirkan duit rakyat ratusan juta.

"Jika kita hentikan terus, akan membazirkan wang rakyat setelah ratusan juta dibelanjakan oleh kerajaan terdahulu (BN). Asalnya itu untuk (pulau) Zon Bebas Cukai," ujarnya. -HARAKAHDAILY 6/7/2018