Tommy: Isu bahasa, bukan kepakarannya

Berita
Typography
KUALA LUMPUR: Pertikaian umum terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas adalah berkaitan penggunaan Bahasa Kebangsaan, bukan kepakaran atau perkhidmatannya.
 
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, tempelakan peguam PKR, Latifah Koya bahawa Terengganu pernah menggunakan khidmat Tommy langsung tidak bersangkutan.
 
"Isu sekarang bukan soal perkhidmatan. Beliau adalah Peguam Negara. Jawatannya itu sepatutnya dilihat mempunyai aspirasi mendokong sistem kehakiman.
 
"Sistem Kehakiman negara ini menggunakan Bahasa Kebangsaan yang menjadi dasar kerajaan. Malah, dalam satu penghakiman di Mahkamah Rayuan, Hakim memutuskan prosiding terikat dengan penggunaan Bahasa Kebangsaan.
 
"Dalam soal Terengganu melantik Tommy, itu adalah berkaitan kepakaran khusus beliau dalam isu petroleum. Tetapi Kerajaan Terengganu tidak sampai melantik beliau menjadi Penasihat Undang-undang Negeri.
 
"Sebaliknya, Tun Salleh Abbas banyak menjadi jurucakap negeri dalam mengulas kes tersebut ketika itu," jelas Amzad mencerahkan kekeliruan Latifah. -HARAKAHDAILY 7/7/2018