Terengganu sambut baik sumbangan Petronas

Berita
Typography

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyambut baik jaminan daripada pihak Petronas untuk terus memberikan sumbangan kepada negeri Terengganu sama ada dari segi pendidikan, kebajikan dan pembangunan masyarakat dan juga pemuliharaan alam sekitar.

“Saya percaya tiga inisiatif utama yang termaktub dalam tanggungjawab pelaburan korporat oleh Petronas ini seharusnya menjadi contoh kepada syarikat-syarikat korporat lain dalam memacu kelestarian pembangunan modal insan,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Program Penajaan Pendidikan Petronas 2018 di Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) Kuala Terengganu, hari ini. mbhBerikut ucapan penuh beliau.

Alhamdulillah, bersyukur kita panjatkan kepada Allah Taala atas limpah kurniaan-Nya memberikan kesempatan untuk kita berada dalam majlis yang mulia ini.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Petronas atas penganjuran Majlis Anugerah Program Penajaan Pendidikan Petronas di negeri Terengganu yang indah dan bertuah ini. Saya juga ingin mengucapkan selamat datang ke Negeri Terengganu Darul Iman kepada semua jemputan yang hadir pada hari ini.

Kerajaan negeri Terenganu sentiasa memandang tinggi usaha pembangunan modal insan yang merupakan pemangkin kepada usaha pembangunan dan kesejahteraan negara. Justeru, kerajaan negeri sangat berbesar hati atas usaha yang berterusan daripada Petronas kepada kemajuan negeri Terengganu selama ini.

Memetik ucapan daripada Naib Presiden Kanan Petronas sebentar tadi, saya mewakili kerajaan negeri amat berterima kasih atas komitmen yang berterusan daripada Petronas kepada negeri Terengganu terutamanya di bidang pendidikan. Kami bersyukur dan menyanjung tinggi tajaan yang diteruskan untuk program TRENGLISH, Program Sentuhan Ilmu Petronas (PSIP), Program VISTA, Program Sekolah Amanah dan juga Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP).

Saya difahamkan bahawa Program TRENGLISH telah menerima tajaan daripada Petronas sejak diperkenalkan pada tahun 2015 dan sehingga kini telah melibatkan 50 buah sekolah di seluruh negeri Terengganu. Antara sumbangan Petronas kepada program ini termasuklah langganan “Newspaper in Education (NIE)” dengan syarikat akhbar The Star yang dibiayai sepenuhnya oleh Petronas. Kerajaan negeri menyambut baik kerjasama antara Petronas dan The Star sebagai usaha membantu para pelajar meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris sejak dari peringkat awal.

Sementara itu, sejak tahun 2003 Program Sentuhan Ilmu Petronas (PSIP) pula telah memberi manfaat kepada hampir 2,000 orang pelajar yang bersekolah di negeri Terengganu. Manakala hampir 2,000 orang lagi anak-anak Terengganu telah berjaya mendapatkan pendidikan dan latihan kemahiran melalui Institut Teknologi Petronas, Akademi Laut Malaysia (ALAM) dan Program VISTA di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin.

Pada hari ini pula, saya berbangga untuk menyampaikan anugerah Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP) kepada 36 orang pelajar kelahiran negeri Terengganu yang memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM 2017 tahun lalu. Tahniah dan sama-sama kita berikan tepukan yang gemuruh kepada semua penerima anugerah penajaan yang hadir pada hari ini.

Saya juga menyarankan agar syarikat-syarikat lain juga harus mencontohi apa yang telah dilaksanakan oleh Petronas membantu bidang pendidikan di negeri Terengganu. Manakala Kerajaan Negeri Terengganu juga telah menyatakan komitmen kami untuk mewujudkan Tabung Biasiswa Pelajar Cemerlang sebanyak RM5 juta setahun untuk anak Terengganu melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Pertama. Doakan ianya dipermudahkan.

Hari ini adalah sebahagian daripada sejarah penting dalam hidup anda semua. Maka saya menyeru kepada semua pelajar supaya memanfaatkan peluang penajaan ini sebaik-baiknya dan teruskanlah usaha anda dalam mengukir sejarah dalam bidang kemahiran anda masing-masing sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.

Anda semua amat bertuah kerana terpilih daripada ribuan pelajar di seluruh Malaysia yang telah memohon untuk mendapatkan penajaan pendidikan seperti ini. Saya dimaklumkan bahawa sejak penubuhan PESP, program ini telah menaja seramai 1,488 orang anak-anak Terengganu dengan nilai tajaan keseluruhan mencecah RM168 juta untuk melanjutkan pengajian ijazah, dalam dan luar negara termasuk di Universiti Teknologi Petronas.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada ibu bapa serta penjaga yang hadir pada hari ini. Saya percaya bahawa peluang diberikan tajaan seperti ini tidak datang bergolek begitu sahaja tanpa sokongan daripada para ibu bapa yang mendidik para pelajar di luar waktu persekolahan. Doa dan didikan daripada ibu bapa adalah amat penting bagi memastikan kecemerlangan anak-anak pada hari ini berkekalan. Saya mengharapkan anak-anak ini akan kembali berbakti untuk menyumbang kemahiran mereka kepada negeri kelahiran mereka ini suatu hari kelak.

Saya menyeru kepada para pelajar dan ibu bapa untuk mengekalkan kecemerlangan bukan sahaja dari segi pendidikan tapi juga dari segi sahsiah dan budi pekerti. Sesungguhnya seseorang manusia itu tidak hanya dinilai dari sekeping ijazah yang digenggam ketika hari graduasi, tetapi seseorang manusia itu akan dinilai pada setinggi mana dia berjaya mengangkat martabat insani sepertimana yang digariskan di dalam Al Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW. Kepercayaan kepada Tuhan dan Agama semestinya menjadi pegangan utama setiap pelajar bagi membantu memberikan pedoman dan panduan pada masa depan.

Akhir kata, saya menyambut baik jaminan daripada pihak Petronas untuk terus memberikan sumbangan kepada negeri Terengganu sama ada dari segi Pendidikan, Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat dan juga Pemuliharaan Alam Sekitar. Saya percaya tiga inisiatif utama yang termaktub dalam tanggungjawab pelaburan korporat oleh Petronas ini seharusnya menjadi contoh kepada syarikat-syarikat korporat lain dalam memacu kelestarian pembangunan modal insan. - HARAKAHDAILY 7/7/2018

MNK