Majoriti buka jalan dasar Islam dilaksana

Berita
Typography
BESUT: Majoriti kemenangan yang diperolehi PAS di Terengganu telah membuka jalan untuk melaksanakan dasar Islam di dalam pemerintahan menerusi pindaan Perlembagaan Negeri.
 
Namun, usaha perubahan lebih baik ke arah mengembalikan maruah negara, bangsa Melayu dan agama Islam itu akan dilakukan sesuai dengan Perlembagaan Persekutuan.
 
Perkara itu dinyatakan Pesuruhjaya PAS Negeri, Dato' Ustaz Husain Awang pada Majlis Jamuan Hari Raya Dewan Muslimat PAS Kawasan Besut di Dewan Haji Salleh, Alor Lintah, di sini kelmarin.
 
Menurut beliau, pengundi di Besut dan Setiu telah melengkapkan kejayaan menjadi kerajaan dengan majoriti mutlak dua pertiga di Dun itu biarpun masih ketinggalan tiga Dun dan satu Parlimen.
 
Pujinya, Jentera Muslimat PAS yang aktif melaksanakan seluruh agenda tersebut hinggakan para pengundi memberi keyakinan kepada PAS.
 
Beliau turut menyeru agar bersama kepimpinan PAS agar diberi kekuatan dan keazaman kukuh bagi melaksanakan semua janji manifesto sepanjang penggal pemerintahan itu. -HARAKAHDAILY  8/7/2018