Peranan pusat pengajian Islam sangat penting

Berita
Typography
BESUT: Pusat pengajian Islam yang memelihara ilmu al-Quran diajar Nabi Muhammad S.A.W adalah sangat penting kepada Islam, demikian tegas, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
 
Malah menurutnya, menubuhkan institusi sedemikian adalah satu kewajipan yang sangat besar dalam agama Islam.
 
“Kita menyaksikan zaman kejatuhan umat Islam seperti hilangnya negara dan pemerintahan serta umat Islam lupa kepada kewajipan memerintah negara dengan Islam.
 
“Mereka tidak memberi sokongan yang penuh kepada perjuangan untuk mendaulatkan syariat Allah S.W.T memerintah di atas muka bumi.
 
“Kerana dipengaruhi oleh kesenangan dan kemewahan dunia semata-mata serta lupa perjalanan ke Hari Akhirat yang kekal abadi,” ujarnya.
 
Beliau berkata, demikian dalam ucapan pada Majlis Perasmian dan Sambutan Syawal Kompleks Pendidikan An-Nur, Alor Belanga, di sini kelmarin.
 
Jelasnya, musuh Islam menganggap cahaya Islam seperti cahaya minyak tanah yang boleh dipadam dengan hembusan mulut sahaja.
 
“Allah Taala tidak mengizinkan cahaya agama Islam dipadamkan walaupun orang Islam tidak ada negara memerintah yang mempunyai kuasa yang kuat.
 
“Allah memelihara agama Islam dengan  memelihara ilmu serta tidak boleh dihapuskan. Walaupun kita menyaksikan ilmu agama dikepung sehingga orang memandang hina dan rendah kepada orang yang mengajar agama.
 
“Rahsia kekuatan cahaya agama Islam ini terletak pada ilmu agama yang dipelihara yang dijaga oleh Allah dan pahala yang tidak terhingga banyaknya berterusan walaupun seseorang itu meninggal dunia serta berbeza dengan amalan yang lain.
 
“Bila matinya seseorang anak Adam putus amalannya tetapi ada tiga perkara tidak putus  walaupun seseorang meninggal dunia iaitu sedekah jariah sumbangan yang diberi pahala berpanjangan, ilmu yang beri manfaat dan anak yang soleh yang diajar ilmu agama yang tahu dosa pahala,” jelasnya.
 
Terang beliau, inilah tanaman ilmu yang sangat penting mengharapkan diberkati dan menyumbang pahala serta menyuburkan ilmu serta diamal agar bermanfaat di dunia dan akhirat. -HARAKAHDAILY 9/7/2018