Isu tutup tahfiz lenyap usaha PH iktiraf UEC

Berita
Typography

ALOR SETAR: Bekas menteri Umno, Tan Sri Zainuddin Maidin diingatkan lebih cermat mengeluarkan kenyataan sebelum membuat tuduhan melulu terhadap institusi pendidikan tahfiz.

ahmadyahyaPengerusi Hal Ehwal Sekolah Agama Rakyat (HESA) Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya berkata, pemimpin terbabit sepatutnya memberi cadangan penambahbaikan bagi mengatasi kelemahan dan kekurangan.

Sebaliknya kata beliau, Zainuddin membuat tuduhan semberono terhadap beberapa kes terpencil yang melibatkan institusi itu.

"Sepatutnya beliau mengemukakan cadangan dan memberi idea bagaimana untuk mengatasi kelemahan dan bukannya menghukum atau membakar kelambu hanya kerana dua tiga ekor nyamuk," ujar beliau di sini.

Baru-baru ini Zainuddin yang juga bekas Menteri Penerangan mencadangkan sekolah tahfiz ditutup kerana menganggap anak-anak membuang masa belajar di sekolah tahfiz persendirian.

Ahmad juga berkata, tuduhan kononnya tahfiz menghasilkan hufaz terlibat dengan penyelewengan dianggap sebagai keterlaluan.

Pengerusi Majlis Huffaz Kedah, Ustaz Mohd Rodhi Abdul Rahman Al-Hafiz berkata, jangan mengheret semua institusi tahfiz ekoran masalah dihadapi segelintir tahfiz.

Katanya, isu-isu seperti perdagangan pelajar, kutip derma atau pun penyelewengan hanya melibatkan segelintir sekolah tahfiz yang bermasalah.

"Sekolah-sekolahn tahfiz yang serba kekurangan diakui ada kelemahan aspek keselamatan. Sepatutnya kita bantulah mereka dan bukannya menghina.

"Biarpun ada pelbagai masalah namun permohonan kemasukan pelajar baru melimpah ruah," ujarnya.

Fairuz Hisyam NordinManakala Ketua Jabatan Penerangan PAS Pahang, Fairuz Hisyam Nordin berkata, isu cadangan menutup sekolah tahfiz ditimbulkan bagi menenggelamkan isu usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Katanya, isu UEC boleh menghakis sokongan orang Melayu terhadap kerajaan PH bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil di Sungai Kandis, Selangor.

“Untuk menutup isu besar, mereka perlu menimbulkan isu lebih besar supaya ia menjadi isu panas sekaligus menenggelamkan isu UEC.

“Siapa yang tidak marah jika kerajaan mahu menutup sekolah agama atau Maahad Tahfiz. Isu UEC dapat dilenyapkan daripada menjadi isu besar,” katanya. - HARAKAHDAILY 10/7/2018