Jangan tinggal masyarakat bukan Islam

Berita
Typography

AMPANG: Naib Presiden PAS, Dato' Iskandar Abdul Samad mengingatkan ahli-ahli PAS agar tidak meninggalkan masyarakat bukan Islam dalam gerak kerja mereka.

Katanya, walaupun sokongan masyarakat Islam kepada PAS menurun dengan mendadak pada pilihan raya umum yang baru lalu namun PAS bukan sebuah parti politik semata-mata.

Iskandar menegaskan PAS mempunyai tanggungjawab dakwah terhadap masyarakat bukan Islam yang juga sama penting dengan tanggungjawab politik.

Beliau yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor menambah, risalah Islam perlu disebarkan dan mahu ahli-ahli PAS mencontohi para pendakwah di zaman awal Islam yang gigih menyampaikan Islam ke setiap pelosok dunia walaupun ada yang disiksa dan dibunuh.

"Keindahan dan keadilan Islam itu mesti diketahui oleh semua sesuai dengan Rasulullah SAW sebagai rahmat kepada sekalian alam di mana Islam merupakan penyelesaian kepada masalah-masalah di dunia," katanya lagi.

Oleh yang demikian, beliau berharap ahli-ahli PAS tidak berputus asa dengan keputusan pilihan raya umum yang lepas tetapi melipatgandakan usaha untuk mendekati masyarakat bukan Islam.

“Program-program untuk mereka hendaklah diteruskan dan jangan lupa untuk menjemput mereka ke program-program PAS,” ujarnya.

Tambahnya, cara yang terbaik untuk menarik masyarakat kepada Islam dan PAS adalah melalui akhlak yang baik.

“Apa yang kita lakukan adalah lebih berkesan dari apa yang kita ucapkan. Ahli-ahli juga hendaklah prihatin terhadap kebajikan rakyat dan sedaya upaya cuba untuk membantu mereka,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 11/7/2018