Ancaman DAP sedia ditangani PAS Kelantan

Berita
Typography
KUALA LUMPUR: DAP dinasihat melihat masalah parti itu sendiri sebelum menyeru rakyat Kelantan untuk mengubah kerajaan kepada yang telus dan bersih.
 
Setiausaha PAS Negeri Kelantan, Dato' Che Abdullah Mat Nawi berkata, disebalik gesaan itu, hakikatnya pentadbiran DAP sudah terpalit dengan rasuah dan salah guna kuasa.
 
Bidasnya, walaupun perkara itu masih belum disahkan, tetapi perbuatan tersebut berlaku bukan kepada pegawai bawahan, sebaliknya pemimpin tertinggi dasar parti itu.
 
Tegas beliau, Kelantan yang telah ditadbir PAS selama 28 tahun menjadi satu-satunya negeri di Malaysia bersih dari rasuah dan tidak korup, sedang DAP baharu dua penggal sudah sedemikian.
 
"Sebab itu saya katakan DAP tidak layak menyentuh Kelantan dan menyeru rakyat negeri ini perlu pilih kerajaan yang telus dan bersih.
 
"Saya yakin rakyat Kelantan tetap akan pertahankan Kerajaan Islam kerana telah terbukti sebagai kerajaan yang bersih," ujarnya.
 
Beliau juga menyatakan bahawa PAS Kelantan tidak merasa terancam dengan usaha DAP untuk mengembangkan sayap ke negeri itu menerusi pembukaan beberapa cawangan baharu.
 
Menurut beliau, jika sekiranya DAP mensasarkan orang Melayu sebagai fokus mereka, maka masyarakat di negeri itu perlu berwaspada dan berhati-hati mempertahankan keutuhan sedia ada.
 
Dato' Che Abdullah mengingatkan betapa tindakan untuk mengkhianati sedemikian sememangnya pernah dilakukan pemimpin Melayu Islam sendiri yang membawa DAP untuk bertapak di negeri itu.
 
Terangnya, gerakan yang dibuat oleh mereka itu sehinggakan DAP bertindak berani membuat pengisytiharan lantikan Menteri Besar dan beberapa perkara lain sebelum ini.
 
Terdahulu Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam satu laporan media menyatakan bahawa pihak partinya tidak pernah berhenti berusaha memenangi hati rakyat Kelantan terutama Melayu.
 
Malah dilaporkan parti itu berjaya membuka beberapa Cawangan baharu dan menarik keahlian daripada orang Melayu. -HARAKAHDAILY 11/7/2018