PAS Pahang bawa usul cuti hari Jumaat

Berita
Typography

TEMERLOH: PAS Pahang sekali lagi akan membawa usul bagi menjadikan hari Jumaat sebagai hari cuti hujung minggu seperti dilaksanakan di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar berkata, bagi merealisasikan matlamat itu usul mengenainya akan dibentang pada persidangan Dun bermula 23 Julai ini.

Katanya, sebelum ini usul mengenainya pernah dibentangkan pada persidangan Dun penggal lalu namun ditolak.

“Hari Jumaat adalah penghulu segala hari untuk umat Islam. Jadi ia boleh beri masa kepada umat Islam melakukan ibadah selain dihidupkan dengan majlis-majlis ilmu.

“Kita harap usul tersebut mendapat sokongan dan diterima untuk membolehkan cuti mingguan dilaksana pada hari Jumaat,” katanya di sini kelmarin. - HARAKAHDAILY 13/7/2018