Dibogel dan disentuh staf wanita

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa meneliti proses temuduga kemasukan ke Universiti Pertahanan Awam Nasional Malaysia dan Maktab Tentera Diraja berikutan dakwaan berlaku prosedur yang mendatangkan aib serta bertentangan budaya ketimuran.

Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli (PAS – Dungun) berkata, menerusi sepucuk surat oleh seorang mahasiswa terbabit telah mendakwa mereka melalui prosedur yang menghendaki berbogel beramai-ramai dan dihadapan staf perubatan wanita.

Selain itu maklumnya, dalam keadaan mengaibkan itu, mereka disuruh melakukan beberapa aktiviti seperti ‘pumping’, melompat-lompat serta pelbagai lagi termasuk dari Kor Agama (Kagat) dan kadangkala kemaluan mereka disentuh staf-staf tersebut.

Perkara itu diutarakan beliau ketika berucap mengambil bahagian dalam perbahasan Titah DiRaja pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini kelmarin.

“Kita mempunyai kira-kira 5,000 graduan perubatan setiap tahun dikeluarkan universiti yang dinyatakan akhbar Berita Harian 5 September 2017. Soalan saya adakah sudah tidak ada lagi staf perubatan lelaki bagi mengendalikan prosedur-prosedur temuduga ini?

“Saya pohon dari maklumat luahan surat ini supaya diambil perjalanan untuk dilihat dan kalau perlu kepada pembaikpulihan yang sangat mustahak bagi menghormati masyarakat Timur, Asia dan juga termasuk dari kalangan bangsa kita sendiri sama ada Cina, India, Melayu dan apatah lagi ia melibatkan orang-orang Islam,” ujarnya.

Skim atlet berpotensi

Beliau pada kesempatan itu turut merakam ucapan tahniah kepada atlet berbasikal kelahiran Dungun, Azizul Hasni Awang atas kejayaan mengharumkan nama negara di persada dunia dengan merangkul emas acara basikal trek China 2018 pada 27 Julai lalu.

Menurutnya, Azizul telah mencapai kejayaan sangat banyak antaranya tahun 2009 di Poland mendapat pingat perak, 2010 di Denmark juga perak, 2015 gangsa, 2016 gangsa, 2016 di Rio Olimpik gangsa dan 2017 emas.

“Apakah ada sumbangan daripada kerajaan untuk anak muda sangat hebat dan cemerlang yang telah mengharumkan nama negara ini? Kalau boleh diadakan juga satu skim untuk atlet-atlet kita yang ada potensi untuk menaikkan nama negara.

“Supaya kita boleh membantu mereka apabila sampai kepada tahap boleh menjadikan nama negara kita ini masyhur dengan sebab usaha yang telah mereka ambil,” ujarnya.

Isu muara cetek

Ustaz Wan Hassan juga menyentuh isu muara Sungai Dungun yang sangat cetek di mana permohonan telah dimasukkan pada Rancangan Malaysia Ke (RMK) 10 dan 11 yang lalu untuk mengatasi pelbagai masalah berkaitan.

Antaranya jelas beliau, apabila musim tengkujuh muara sungai menjadi cetek, pendaratan ikan tidak dapat dilakukan, sekali gus menyebabkan kos harga ikan mahal dan lebih dahsyat ialah kehilangan nyawa para nelayan, selain membantut kemajuan pelancongan. - HARAKAHDAILY 1/8/2018