Kerajaan Sementara, Hisbah dan dana politik

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Panduan mengenai Kerajaan Sementara (Care Taker Government), Jawatankuasa Hisbah Rakyat (Ombudsman) dan dana pembiayaan politik perlu diperhalusi ke arah penambahbaikan proses pilihan raya dan demokrasi, demikian seru Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS – Bachok).

Membahas Titah DiRaja pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini semalam, beliau berkata, hasrat meletakkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di bawah Parlimen ke arah menjadi badan bebas dan adil adalah cadangan baik yang perlu disambut.

Beliau turut mengemukakan syor oleh Jawatankuasa Pilihan Khas berkait pendaftaran automatik 21 tahun atas kebimbangan jumlah yang masih gagal mendaftarkan diri sebagai pengundi hampir 3.6 juta dalam kalangan golongan itu.

“Saya juga ingin menyentuh mengenai Kerajaan Sementara yang dibentuk setelah pembubaran Parlimen. Sesuatu sangat dikesalkan adalah kegagalan pihak bertanggungjawab menyediakan padang sama rata dalam sistem pilihan raya di negara kita.

“Kita melihat bagaimana kempen penerangan kerajaan digunakan seluasnya bagi mempromosi parti bukan aktiviti kerajaan. Media komunikasi termasuklah media elektronik, premis kerajaan dan sebagainya dimanipulasi sepenuhnya untuk keperluan parti dalam tempoh pilihan raya.

“Malah ada sidang media khas dalam tempoh pilihan raya. Ini suatu yang tentunya tidak sihat dalam Sistem Pilihan Raya hari ini. Saya mengesyorkan supaya panduan terhadap ‘Care Taker Government’ ini diperhalusi dengan sebaiknya,” pintanya.

Menurut beliau, penubuhan Jawatankuasa Hisbah Rakyat yang menjadi antara dikemukakan PAS dan Gagasan Sejahtera pada PRU lalu adalah sebagai langkah memastikan transparensi dan akauntabiliti kepada pihak kerajaan secara lebih dekat.

Jawatankuasa itu jelasnya, mestilah bebas daripada kongkongan pihak Eksekutif dan transparen dalam menjalankan tugas, serta mempunyai kuasa lebih mendalam bagi menyiasat salah laku termasuk Pejabat Perdana Menteri sendiri.

Beliau turut menyentuh mengenai dana pembiayaan politik yang dinyatakannya sudah tiba masa bagi negara ini mengambil serius untuk memperkenalkan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik sebagai satu langkah komprehensif bagi mengawal sumber perbelanjaan parti-parti politik di negara ini. - HARAKAHDAILY 1/8/2018