Hutan Bukit Enggang terancam - MP Sik

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Kerajaan khasnya agensi penguatkuasaan Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Perhutanan perlu melihat beberapa jajaran hutan simpan terancam termasuklah pembalakan yang berlaku di Hutan Simpan Bukit Enggang di Kedah.

Proses mengeluarkan balak lebih daripada 1,000 hektar yang telah diluluskan beberapa tahun lepas menyebabkan hutan simpan tersebut kini semakin terancam.

Perkara tersebut dinyatakan Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman ketika mencelah dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, semalam.

Katanya, keadaan itu menyebabkan banyak anak sungai yang mengalir ke Sungai Ulu Muda terkesan, termasuk air yang keruh akibat bercampur lumpur.

"Pihak penduduk sekitar telah membuat aduan kepada Jabatan Alam Sekitar berkaitan kelulusan yang diberikan projek tersebut.

"Pihak jabatan juga tidak dapat memberikan kepastian mereka telah membuat Kajian Kesan Alam Sekitar (DEIA) yang sepatutnya dikeluarkan oleh jabatan apabila melebihi 1,000 hektar.

"Ketika ini ada pembalakkan yang tidak dapat digambarkan kedudukan dari bawah melainkan melalui helikopter untuk melihat keluasan proses pembalakkan tersebut antara dua empangan Pedu dan Ulu Muda," ujar beliau. – HARAKAHDAILY 2/8/2018