Hanipa jangan hanya tahu jawab di Facebook

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man menasihati menteri dan timbalan menteri untuk memperbanyakkan masa berada dalam Dewan Rakyat bagi mendengar perbahasan.

Katanya, jika lebih banyak masa dalam parlimen maka menteri dan timbalan akan tahu apa yang dibahaskan oleh anggota dewan.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PAS menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maiden yang dikatakan tidak menjawab mengikut apa yang dibahaskan ahli parlimen.

“Saya tengok komen Hanipa menggambarkan seolah-olah dia tak dengar apa yang dibahaskan oleh ahli parlimen PAS selama ini,” ujarnya semasa sesi soal jawab pagi ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi juga turut menempelak Hanipa dengan isu yang sama.

"Timbalan menteri tak perlu jawab di Facebook, tapi jawab di parlimen," kata beliau.

Beliau turut menyatakan kesediaan ahli parlimen PAS dan pembangkang untuk berbahas dalam parlimen.

"Kita bersedia untuk membahaskan apa sahaja isu bukan sahaja aurat dalam parlimen," tambah beliau lagi. – HARAKAHDAILY 2/8/2018