UPDI dan i-MiTS segera mengorak langkah

Berita
Typography
KUALA TERENGGANU: Unit Penerangan Darul Iman (UPDI) dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) akan segera mengerakkan jentera masing-masing setelah menerima 46 kakitangan baharu bagi membantu melicinkan pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu.
 
Pengarah UPDI, Ustaz Sood Said berharap dengan kehadiran kakitangan baru ini, semua gerak kerja penerangan yang telah dirancang dapat digerakkan secepat dan sebaik mungkin sebagaimana yang diharapkan oleh Kerajaan Negeri.
 
“Seramai 24 orang untuk UPDI, telah mengangkat sumpah menerima jawatan sebentar tadi dan baki seramai 40 orang lagi akan masuk pada 15 Ogos ini.
 
"Kami merancang dalam masa terdekat ini untuk mengadakan program dialog dengan MB dan Exco di semua lapan daerah bagi memberikan penerangan secara langsung kepada rakyat berkaitan dengan perancangan dan hasil yang telah kerajaan lakukan,” kata beliau.
 
Manakala Pengarah i-MiTS, Ustaz Kamaruzzaman Abdullah pula berkata, dengan pengambilan baharu ini, akan membantu memudahkan kerja-kerja khususnya dalam menjana kekuatan kerajaan supaya menepati motto Maju Berkat Sejahtera.
 
“Saya menaruh keyakinan sepenuhnya semua yang baharu menandatangani surat tawaran jawatan itu adalah yang terbaik dan akan memberikan komitmen kepada Kerajaan Negeri.
 
"i-MiTS adalah diasaskan kepada modal insan, dan kita akan menggarapkan jiwa manusia tersebut supaya menjadi manusia yang tepat mengikut Al-Quran dan Hadis,” terang beliau mengenai peranan i-MiTS.
 
Kedua mereka ditemui sejurus selesai Majlis Angkat Sumpah Jawatan kakitangan kontrak baharu di Dewan Syarahan Tingkat Dua, Wisma Darul Iman, di sini semalam.
 
Majlis mengangkat sumpah yang diketuai oleh Ukashah Hassan itu, dilakukan di hadapan Setiausaha Bahagian (Pengurusan Sumber Manusia), Marzuki Endut.
 
Sebelum itu Marzuki turut memberikan ucapan alu-aluan dan taklimat ringkas berkenaan tugas sebagai seorang penjawat awam.
 
Beliau menekankan setiap kakitangan menjaga disiplin agar tidak mencemarkan nama baik Kerajaan Negeri dan juga mengingatkan kepada hukuman yang bakal dihadapi jika didapati bersalah melakukan jenayah. -HARAKAHDAILY 2/8/2018