Tg Ibrahim gesa rujuk perjanjian asal

Berita
Typography

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Persekutuan yang kini diterajui gabungan PH diingatkan agar kembali merujuk kepada perjanjian asal mengikut Akta Kemajuan Petroleum 1974 berkenaan pembayaran royalti Petroleum dan Gas.

Gesaan itu, disarankan oleh Kerabat DiRaja Terengganu, Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim Sultan Ismail Nasharuddin Shah yang mahukan Kerajaan PH membayar terus royalti lima peratus kepada kerajaan negeri ini.

Malah, beliau bersetuju dengan pendirian Kerajaan Negeri Kelantan menuntut lima peratus royalti seperti negeri-negeri pengeluar minyak lain.

"Saya setuju dengan saranan (Kelantan) itu. Sebab apa? Kita balik kepada perjanjian asal melalui Akta Kemajuan Petroleum 1974. Perjanjian asal mengatakan bayaran sebanyak lima peratus tunai.

"Saya harap negeri Terengganu terima dahulu lima peratus itu dengan syarat, wang royalti itu hendaklah dibayar terus kepada kerajaan negeri dua kali setahun. Jika tidak silap saya bulan April dan September setiap tahun," jelasnya.

Beliau selaku Penaung Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) berkata demikian ketika ditemui Harakah di pejabatnya, Jalan Batas Baru, di sini semalam.

Mengulas cadangan Pengerusi PH Kelantan, Husam Musa yang mahu penubuhan Majlis Tindakan dan Pembangunan Negeri Kelantan diwujudkan bagi mengurus peruntukan Persekutuan, Tengku Ibrahim tidak bersetuju.

Katanya, cadangan Husam itu tidak dipersetujui kerana mengikut perjanjian asal pihak Petronas diwajibkan membayar lima peratus tunai kepada negeri Terengganu.

"Saya tidak setuju sebab, dalam perjanjian asal tidak disebut pun perkara itu dan bercanggah.

"Kerajaan PH pula janganlah membuat pusingan (helah) sebab minyak ini kurniaan Allah Taala untuk rakyat Terengganu, bukan untuk PAS, bukan untuk Umno, bukan untuk BN.

"Tapi, untuk rakyat negeri Terengganu. Kebetulan pula Terengganu sekarang ini diperintah oleh PAS. Saya pula bukan anti kerajaan Pakatan Harapan," tegasnya.

Tengku Ibrahim melahirkan rasa kebimbangan itu jika, Kelantan ditubuhkan (Majlis Tindakan dan Pembangunan Ekonomi), sudah pasti Terengganu juga akan diwujudkan itu.

"Wang (royalti) ini akan digunakan untuk pembangunan negeri Terengganu dan menaiktaraf hidup rakyat yang miskin di luar bandar.

"Maka, tidak elok jika kerajaan PH menyekat atau menafikan hak bayaran (royalti) terus kepada negeri (Terengganu)," ujarnya dengan rasa terkilan.

Sebaliknya, kata beliau akan terus berjuang dan bersuara bagi menuntut hak rakyat negeri ini, yang pernah dinafikan bayaran royalti ketika Umno-BN memerintah Terengganu.

Tambahnya lagi, Kerajaan Persekutuan pimpinan PH dan Kerajaan PAS Terengganu boleh merujuk kepada dua tokoh, iaitu Tengku Razaliegh dan Tun Dr Mohd Salleh Abas, yang terlibat secara langsung merangka draf perjanjian tersebut. -HARAKAHDAILY 3/8/2018