PAS puji penurunan kuasa urusan tanah

Berita
Typography
KUALA LUMPUR: PAS melihat proses pemilikan tanah kepada rakyat bakal menjadi lebih mudah berikutan urusan berkaitan oleh Pihak Berkuasa Negeri akan dilaksanakan kepada Pentadbir Tanah dan Pendaftar Daerah.
 
Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu menyambut baik pengumuman Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang menurunkan tanggungjawab pengurusan pihak berkenaan berkuatkuasa serta merta.
 
Menerusi perubahan itu, ia bakal memudah dan memendekkan masa proses mendapat kelulusan pindah milik, gadaian dan pajakan yang selama ini bagai 'duri dalam daging' kerana kekangan akta dan birokrasi.
 
Difahamkan, penurunan kuasa tersebut termaktub di bawah bidang permohonan kebenaran pindah milik dan gadaian bagi tujuan suami isteri, anak-beranak, waris kadim dan bukan waris kadim, manakala kategori lain melibatkan Pengarah Tanah dan Galian.
 
Permohonan yang lengkap akan menerima keputusan antara sehari atau dua atau 10 hari bekerja mengikut kategori setelah dikemukakan di Pejabat Tanah dan dipertimbangkan oleh Pentadbir Tanah.
 
Adun Chenor, Mujibur Rahman Ishak pula berkata, keputusan tersebut menampakkan kesungguhan kerajaan menjaga kebajikan rakyat memandangkan urusan tanah antara paling banyak kedengaran rungutan.
 
Menurutnya, kesukaran yang berlaku sebelum ini bukan sahaja menyusahkan rakyat, bahkan melibatkan juga firma guaman dan pihak-pihak berkaitan kerana proses panjangnya hingga melibatkan Menteri Besar. -HARAKAHDAILY 5/8/2018