Terhijab hidayah kerana sifat buruk

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Sifat buruk di dalam hati seperti sombong, takabbur, ujub dan lain-lain menjadi antara penyebab tidak mendapat pertolongan dan hidayah Allah S.W.T.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menasihati supaya tidak menjadi golongan dimurkai yakni mereka yang tahu, ada ilmu, cerdik dan bijak, tetapi sesat, jahil dan bebal kerana ada sifat buruk dalam dada.

"Walaupun cerdik. Macam Iblis, dia bijak, cerdik, tapi digunakan untuk menipu. Kenal Allah Taala, boleh berdialog, bercakap dengan Allah.

"Tetapi kerana sifat takabbur, sombong, ujub dalam diri, sifat yang buruk menjadi perbahasan ilmu tasawuf, ada dalam dada Iblis, menyebabkan tidak layak mendapat hidayah Allah.

"Kita lihat manusia juga, Firaun, Namrud, cerdik. Kalau dia tak cerdik tak jadi raja. Tetapi kerana sombong dan takabburnya, tak dapat hidayah.

"Kita lihat golongan ahli kitab, tahu Taurah dan Injil, tahu tanda pada Nabi S.A.W. Bila Nabi datang tak ikut Nabi. Kerana apa? Sombong dan takabbur," ujarnya pada Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, Marang, kelmarin.

Hal sama menurutnya, termasuk pemimpin Makkah seperti Abu Jahal dan Abu Lahab di mana ada hubungan keluarga, kenal dan akui akhlak Nabi, tapi enggan masuk Islam kerana sifat buruk.

Jelas Tuan Guru, hal tersebut berbeza dengan golongan diberi hidayah oleh Allah S.W.T di mana mereka sentiasa belajar, mengaji, berdoa dan solat yakni bergantung kepada Allah.

Malah terangnya, para ahli Syurga akan mengulangi kembali nikmat iman tersebut serta bersama para Nabi dan Rasul kerana amal soleh mereka itu tidak sebagaimana para penentang dari kalangan Syaitan dan Jin.

Sehubungan itu pesan Tuan Guru, sentiasalah berdoa memohon hidayah kepada Allah ditunjukkan jalan yang betul sebagaimana diikuti para Nabi, Siddiqin, Syuhada' dan Solehin atas nikmat ke atas mereka itu. - HARAKAHDAILY 5/8/2018