Sabar dalam perjuangan, sedia cipta kemenangan

Berita
Typography

SELAMA: Allah memberi motivasi melalui firman-Nya dalam ayat 200 dalam surat Ali Imran memperlihatkan perintah jelas agar tidak mudah berputus asa dan menguatkan kesabaran serta bersiap untuk terus mara.

Sabar bukan hanya dalam menerima keputusan Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) malah sabar juga menyentuh akan sikap dan peribadi kita dalam menempuh ujian, tohmahan dan godaan dunia.

Perkara tersebut djelaskan oleh Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Mohd Akmal Kamaruddin di hadapan perwakilan di Muktamar Dewan Pemuda PAS Perak.

Program yang berlangsung di Dewan Majlis Daerah Selama ini telah berjaya mengumpulkan Pemuda PAS Perak dari 24 kawasan.

Beliau menyatakan lumrah perjuangan yang pastinya ada mehnah dan tribulasi itulah yang dilalui oleh para anbia dan syuhada terdahulu.

Akmal mengajak semua untuk mengenangkan bagaimana peristiwa ketika Khabab al A’rat bertemu dengan Rasullullah SAW yang bermaksud: “Kami telah mengadu kepada Baginda S.A.W sedang Rasulullah pada ketika itu sedang berbaring di bawah naungan Kaabah beralaskan serban.

"Maka kami bertanya; Apakah Tuan tidak berdoa memohon kemenangan bagi pihak kita? Adakah tidak Tuan berdoa bagi pihak kita?”

"Maka berkatalah Rasulullah S.A.W, "Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu ada yang ditangkap, lantas digali lubang lalu ia ditanam di dalamnya, kemudian dibawa datang gergaji lalu digergaji kepalanya sehingga terbelah dua dan disikat badannya dengan sikat besi sehingga meluruh daging dan tulang-belulangnya, namun demikian mereka tidak memalingkan daripada agama.

"Demi Allah, Allah akan menyempurnakan urusan ini (agama Islam) sehinggalah permusafiran dari Sana'a ke Hadhra Maut tidak lagi ditakuti melainkan hanya kepada Allah, akan tetapi kalian adalah golongan yang gopoh." (Riwayat Bukhari)

"Ujian buat Khabab al A’rat lebih dahsyat daripada kita, diseret dalam panasnya api hingga terpadam bara kerana peluh dan minyak yang keluar dari badan beliau, sedangkan kita tidaklah sampai tahap sedemikian,” ujarnya.

Justeru, beliau mengingatkan kepada semua itulah kesabaran para sahabat dalam mencapai kemenangan.

Akmal menyeru para amilin pemuda PAS Perak supaya meneruskan kesabaran dan terus berjuang dalam mencapai kemenangan yang telah dijanjikan Allah SWT. – HARAKAHDAILY 5/8/2018