Ziarah keluarga mangsa nahas gempa Lombok

Berita
Typography
TITIWANGSA: Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan telah menziarahi keluarga pendaki Malaysia yang maut dalam kejadian gempa bumi di Gunung Rinjani, Lombok di kediamannya, di sini, kelmarin. 
 
Pada kejadian tersebut, kediaman para pendaki negara telah musnah di mana runtuhan bangunan telah menghempap Almarhumah Siti Nur Iesmawida Ismail yang menjadi punca kematiannya.
 
Kunjungan dipimpin Ketua Muslimat PAS Wilayah Persekutuan (DMPWP), Ustazah Nuridah Mohd Salleh bersama Dewan Muslimat PAS Kawasan Titiwangsa menemui ibu mangsa, Mazihah Mahmood.
 
Menurut Mazihah, beliau sangat sedih bila mengenangkan arwah anaknya itu serta tidak menyangka anaknya meninggalkan mereka sekeluarga buat selama-lamanya jauh di negara jiran. 
 
“Arwah sememangnya amat meminati aktiviti lasak, selain mendaki, aktiviti seperti larian dan sebagainya merupakan hobi arwah sejak bujang lagi,” ujarnya sebak.
 
Dalam ziarah tersebut, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan DMPWP telah menyampaikan sumbangan kepada keluarga Almarhumah di samping menyuntik kata-kata semangat supaya mereka sekeluarga tabah menerima ujian Tuhan. 
 
“Kami mengucapkan takziah atas perkara yang menimpa arwah dan marilah kita sama-sama doakan semoga arwah Iesmawida ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” kata Ustazah Nuridah. 
 
Terdahulu, jenazah Siti Nur Iesmawida yang merupakan pensyarah di sebuah kolej swasta telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Batu Muda, di sini. -HARAKAHDAILY 5/8/2018