Muslimat S'wak terus langkah pacu kemenangan

Berita
Typography
BINTULU: Muktamar Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak (DMPNS) Kali Ke-13 telah mengangkat tema "Muslimat Memacu Kemenangan" pada majlis yang berlangsung di Kidurong, di sini semalam.
 
Muktamar yang dirasmikan oleh Pengarah Pilihanraya Dewan Muslimat PAS Malaysia, Noraini Hussin itu telah mengumpulkan ahli-ahli DMPNS dari sembilan kawasan seluruh negeri ini.
 
Ketua Muslimat PAS Sarawak, Juliani Adin dalam ucaptamanya menyatakan, penglibatan Muslimat dalam pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan di Bumi Kenyalang telah memberi impak positif kepada masyarakat. 
 
"Selain program seperti 'Back To School' dan Sekampit Beras Buat Saudaraku yang dilaksanakan di seluruh Sarawak, Muslimat turut terlibat sebagai sukarelawan khidmat kesihatan melalui Muslimat Medical Team.
 
"Santunan Muslimat PAS kepada kaum wanita bukan Islam melalui aktiviti kemasyarakatan ini turut menarik mereka untuk bersama membawa agenda PAS melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).
 
"Selaras dengan Halatuju Strategik 10 Tahun PAS Negeri Sarawak (HASRAT) 2017-2027 untuk menubuhkan 11 Iqra' Centre dan Kelas Ngaji, Muslimat melalui Lajnah Dakwah DMPNS juga telah mengatur pelbagai program kuliah dan tadarus Al-Quran bersama masyarakat.
 
"Kesedaran menyampaikan dakwah ini perlu wujud pada setiap ahli Muslimat dan perancangan teratur perlu dilaksanakan demi kesejahteraan ummah dan menjadikan gerak kerja dakwah ini untuk turut sama memacu kemenangan," kata beliau.
 
Juliani turut meminta setiap ahli berada di posisi yang terbaik dalam segala bidang dan tidak lupa bermuhasabah diri, selain menekankan kualiti dengan menjadikan tarbiyah sebagai rutin.
 
Beliau turut menyeru agar Muslimat memaksimumkan peranan mereka dalam bidang pendidikan demi kelangsungan PAS di mana kini telah pun berperanan di PASTI dan SRITI. -HARAKAHDAILY 5/8/2018